Tuesday, January 14, 2025
23.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Mogok seluruh Belgium ganggu kehidupan seharian

    BRUSSELS, 14 JAN – Perkhidmatan pengangkutan awam, penerbangan, sekolah, dan perkhidmatan penting di seluruh Belgium terganggu kelmarin berikutan mogok di seluruh negara bagi membantah cadangan reformasi pencen oleh gabungan yang membentuk kerajaan baharu persekutuan, lapor Xinhua.

    Di Brussels, lebih 30,000 penunjuk perasaan termasuk anggota bomba, guru, dan ahli kesatuan pekerja turun ke jalan raya.

    Kesatuan pekerja mengecam cadangan reformasi pencen itu sebagai satu “serangan terhadap pencen” sambil menuntut penambahbaikan terhadap syarat kerja, peningkatan sumbangan majikan, serta pengurangan tempoh perkhidmatan untuk profesion yang memerlukan masa dan tenaga yang banyak. Mereka turut mengkritik potongan cukai korporat yang dianggap membebankan pekerja secara tidak adil.

    Pengangkutan awam terjejas teruk dengan hanya satu daripada tiga kereta api beroperasi antara bandar utama. Di Brussels, perkhidmatan metro, trem dan bas berjalan pada kapasiti terhad, sementara kebanyakan laluan bas di Wallonia tergendala sepenuhnya.

    Penerbangan turut mengalami gangguan ketara apabila sekitar 40 peratus penerbangan di Lapangan Terbang Brussels dibatalkan, manakala semua penerbangan di Lapangan Terbang Charleroi digantung mulai tengah hari.

    Sektor pendidikan juga terjejas apabila kira-kira 40 peratus sekolah rendah dan menengah di Flanders ditutup.

    Selain itu, perkhidmatan kutipan sampah dan pos di Brussels serta Walloon Brabant mengalami kelewatan. – Bernama/Xinhua

    Mogok di seluruh Belgium membantah rancangan kerajaan untuk mereformasi pencen, di Brussels kelmarin. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda