Oleh Salawati Haji Yahya
BANDAR SERI BEGAWAN, 10 JULAI – Kementerian kesihatan telah mengadakan Majlis Sambutan Ilal Hijrah 1446H dan Doa Kesyukuran bagi Kepulangan Rombongan Bithah Haji Perubatan dan Jemaah Haji Kementerian Kesihatan bagi Musim Haji 1445H pada hari ini.
Majlis berlangsung di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan itu anjuran bersama Jabatan Perkhidmatan Kesihatan Alam Sekitar dan Jabatan Perkhidmatan Teknologi Penjagaan Kesihatan, Kementerian Kesihatan.
Hadir selaku tetamu kehormat adalah Menteri Kesihatan Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar.

Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah oleh Ustaz Ahmad Syuja’iee bin Begawan Mudim Haji Matassim, Ketua Unit Perkhidmatan Ugama, Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha dan kemudian diteruskan dengan penyampaian ceramah agama yang disampaikan oleh Ustaz Mohammad Nasyith bin Superi, Pegawai Ugama Pusat Da’wah Islamiah yang bertajuk, ‘Demi Engkau, aku sanggup’.
Majlis diserikan lagi dengan Dikir Marhaban bagi menyambut Kepulangan Bithah Haji Perubatan yang terdiri daripada 20 orang pegawai perubatan dan jururawat serta seramai 40 orang jemaah haji warga kementerian kesihatan.
Rombongan perubatan haji bagi tahun ini diketuai oleh Dr Haji Mohammad Athaaillah bin Haji Abdullah, Pegawai Perubatan Kanan, Kementerian Kesihatan, manakala bacaan Doa Selamat dan Doa Allah Peliharakan Sultan dibacakan oleh Ustaz Ahmad Syuja’iee.
Turut hadir pada majlis tersebut, Awang Haji Maswadi bin Haji Mohsin, Setiausaha Tetap, Kementerian Kesihatan, Dr Hajah Rafidah binti Haji Gharif, Pemangku Timbalan Setiausaha Tetap (Profesional) Kementerian Kesihatan, ketua-ketua jabatan serta pegawai-pegawai kanan, pegawai-pegawai dan kakitangan di Kementerian Kesihatan.


