Saturday, April 19, 2025
31.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    MOH hargai peserta, penaja jayakan NHANSS-3

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 17 APRIL – Data yang dikumpulkan dalam Kaji Selidik Status Kesihatan dan Pemakanan Negara ke-3 (NHANSS-3) bukan sahaja memberi gambaran menyeluruh mengenai kesihatan dan kesejahteraan kanak-kanak serta keluarga di negara ini, bahkan ia akan menjadi asas penting dalam merangka dasar dan perkhidmatan kesihatan yang lebih baik serta berdasarkan bukti.

    Perkara itu dinyatakan oleh Penyelidik Utama, Dr Lubna binti Haji Abdul Razak dalam kata alu-aluannya di Majlis Penyampaian Hadiah dan Penghargaan Penaja bagi NHANSS-3 yang berlangsung di Studio 2, Pusat Promosi Kesihatan, hari ini.

    Hadir untuk menyempurnakan penyampaian hadiah cabutan bertuah dan sijil penghargaan kepada penaja serta kakitangan NHANSS-3 ialah Pengarah Dasar dan Perancangan, Kementerian Kesihatan (MOH), Haji Adi Ihram bin Dato Paduka Haji Mahmud.

    Pada majlis berkenaan, hadiah pemenang tajaan Royal Brunei Airlines telah disampaikan oleh Ketua Pegawai Hasil, Royal Brunei Airlines, Kamal Ariffin dan hadiah para pemenang tajaan Darussalam Holdings Sdn Bhd telah disampaikan oleh Pegawai Darussalam Holdings Sdn Bhd, Pengiran Halimuddin Pengiran Haji Damit.

    Majlis berkenaan adalah untuk menghargai usaha individu dan isi rumah yang telah melengkapkan semua komponen kaji selidik dalam Fasa Kedua berkenaan dan layak untuk penyertaan dalam cabutan bertuah.

    Majlis berkenaan juga bertujuan untuk mengetengahkan pencapaian kaji selidik berkenaan serta memberikan pengiktirafan kepada semua pihak penaja yang telah menyumbang kepada kejayaannya.

    Fasa Kedua kaji selidik yang dijalankan pada November 2023 hingga November 2024 lalu, menumpukan kepada kanak-kanak, remaja dan wanita dengan fasa berkenaan menggunakan metodologi UNICEF untuk menilai status pemakanan dan kesihatan.

    Ia merangkumi lima set soal selidik berbeza yang ditujukan kepada ahli isi rumah tertentu serta pengukuran antropometri dan biokimia. Penyertaan melibatkan temu bual bersemuka dan pengumpulan data bagi indikator seperti kesihatan ibu, pemakanan kanak-kanak dan faktor gaya hidup isi rumah.

    Kaji Selidik Status Kesihatan dan Pemakanan Kebangsaan Ke-3 (NHANSS-3) adalah kaji selidik yang sedang dilaksanakan oleh Kementerian Kesihatan dengan kerjasama Universiti Brunei Darussalam (UBD) dan sokongan dari WHO dan UNICEF dan telah bermula sejak 2 November 2022.

    Kaji selidik bermatlamat untuk memberikan gambaran penuh terhadap prevalen dan tren penyakit-penyakit tidak berjangkit (NCD) serta faktor risiko berkaitan termasuk penyakit darah tinggi, penyakit kencing manis, kadar kolesterol dalam darah yang tinggi, obesiti, penggunaan tembakau, amalan pemakanan dan pengambilan alkohol.

    Ia juga bermatlamat untuk menilai status kesihatan dan pemakanan penduduk Negara Brunei Darussalam termasuk golongan kanak-kanak dan para wanita.

    Ini merupakan kali ketiga Kementerian Kesihatan melaksanakan kaji selidik NHANSS dan hasil dari kaji selidik itu akan membantu pihak kementerian untuk menilai keberkesanan strategi-strategi dan program-program kesihatan yang telah disediakan dalam negara untuk mencegah dan mengawal penyakit-penyakit tidak berjangkit dan faktor risiko berkaitan.

    Kaji selidik berkenaan juga akan dapat membantu pihak kementerian untuk menilai status kemajuan dalam mencapai sasaran dan matlamat berkaitan dengan kesihatan dan pemakanan di peringkat negara, serantau dan global selain membuat perancangan selanjutnya dalam menangani penyakit-penyakit yang tidak berjangkit serta faktor risiko berkaitan.

    Dr Lubna menyampaikan kata alu-aluannya di majlis berkenaan.
    Atas & Bawah: Haji Adi Ihram menyampaikan hadiah kepada para pemenang di majlis berkenaan.

    Pengiran Halimuddin menyampaikan hadiah kepada pemenang bertuah di majlis berkenaan.
    Kamal Ariffin menyampaikan hadiah kepada pemenang diraikan di majlis berkenaan.
    Haji Adi Ihram menyampaikan sijil penghargaan kepada para penaja di majlis itu.
    Haji Adi Ihram menyampaikan sijil penghargaan kepada kakitangan NHANSS-3.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda