Sabtu, 22 November 2025
29.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    MOH lancar bengkel bangunkan strategi cegah obesiti

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 9 SEPT – Negara Brunei Darussalam terus berhadapan dengan kadar obesiti yang meningkat melibatkan seluruh kumpulan umur dalam kalangan warga Brunei pada masa ini, mencatatkan prevalens obesiti tertinggi di Asia Tenggara.

    Obesiti dan penyakit-penyakit tidak berjangkit (NCD) yang berkaitan seperti penyakit kardiovaskular dan diabetes, menimbulkan ancaman yang serius kepada kesihatan awam, kualiti kehidupan dan pembangunan sosio-ekonomi.

    Obesiti kanak-kanak khususnya mempunyai kesan jangka panjang, peningkatan risiko obesiti, kematian pra-matang dan kecacatan ketika dewasa.

    Menyedari akan peranan penting pemakanan ibu, anak damit dan kanak-kanak dalam mencegah obesiti dan NCD, Kementerian Kesihatan (MOH) telah mengadakan bengkel untuk Membangunkan Pelan Strategik bagi Pemakanan Ibu, Anak Damit dan Kanak-Kanak (MIYCN) 2025-2030 yang berlangsung di Dewan An-Naura, Kompleks Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah, Bandar Seri Begawan bermula hari ini, 9 hingga 11 September.

    Dalam ucapannya semasa majlis pembukaan bengkel, Pemangku Pengarah Perkhidmatan Perubatan, Pengiran Dr Hajah Siti Nasibah binti Pengiran Haji Ismail memuji kejayaan yang dicapai oleh Pasukan Petugas MIYCN terdahulu yang mana dedikasi dan kerja berpasukan mereka telah membawa kepada beberapa pencapaian penting antaranya termasuk: Mengukuhkan Inisiatif Hospital Mesra-Anak Damit menerusi pelaksanaan Ten Steps; Menyokong garis panduan masyarakat bagi penyusuan badan dan makanan pelengkap; Mengendalikan kempen kesedaran yang kerap dan meraikan Minggu Penyusuan Badan Sedunia setiap tahun; Membangunkan dan menyokong Code of Practice for Health Workers pada 2019 serta bekerjasama dengan pihak berkepentingan luar untuk menjana persekitaran mesra penyusuan badan.

    Pengiran Dr Hajah Siti Nasibah menyampaikan ucapan.

    Namun begitu, ulasnya, pencapaian inisiatif-inisiatif berkenaan telah diperlahankan sejak pandemik COVID-19 serta pada masa yang sama, kadar penyusuan badan eksklusif telah menurun daripada 47 peratus pada 2019 kepada hanya 37 peratus pada 2024.

    Dalam hubungan itu, beliau amat senang hati apabila Pasukan Petugas MIYCN telah ditubuhkan semula yang merupakan langkah penting dalam menghidupkan semula usaha MIYCN menerusi komitmen yang lebih kuat dan penyelarasan yang lebih baik.

    Beliau menyatakan bahawa bengkel itu memberikan mereka peluang untuk memerhati keadaan Brunei masa kini, menyemak perkhidmatan dan intervensi sedia ada serta menyelaraskan usaha dengan intervensi disyorkan daripada WHO, UNICEF dan ASEAN.

    Bengkel berkenaan menumpukan kepada pengukuhan dasar, program dan intervensi semasa 1,000 hari pertama kehidupan yang kritikal iaitu daripada konsepi kandungan hingga umur dua tahun.

    Bukti menunjukkan bahawa pemakanan ibu yang baik, penyusuan susu ibu secara eksklusif dan amalan pemakanan pelengkap yang sesuai merupakan kunci untuk membentuk kesihatan sepanjang hayat.

    Bengkel itu menghimpunkan penubuhan semula ahli Pasukan Petugas MIYCN 2025-2030 yang akan berfungsi sebagai mekanisme penyelarasan kebangsaan bagi MIYCN dan akan menyemak keadaan semasa, mengenal pasti jurang dan peluang serta menyelaraskan keutamaan negara dengan Sasaran Pemakanan Global WHO dan WHO Pelan Pecutan untuk Menghentikan Obesiti.

    Pelan Strategik MIYCN 2025-2030 akan berfungsi sebagai panduan untuk membimbing Kementerian Kesihatan dan rakan-rakan kongsinya dalam menangani cabaran pemakanan, dengan matlamat utama untuk meningkatkan kesihatan dan kesejahteraan ibu, anak damit dan kanak-kanak serta menyumbang kepada masa depan yang lebih sihat untuk Negara Brunei Darussalam.

    Dr Faezah menyampaikan pembentangan dalam bengkel berkenaan.

    Semua di atas: Antara yang hadir ke bengkel berkenaan.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda