Oleh Salawati Haji Yahya & Yusrin Junaidi –
BANDAR SERI BEGAWAN, 16 MAC – Pelbagai pihak telah mengadakan Majlis Membaca Surah Yasin dan Tahlil khusus bagi Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien dan Al-Marhumah Duli Raja Isteri Pengiran Anak Damit serta Al-Marhum Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Haji ‘Abdul ‘Azim di Kubah Makam Diraja.
Antara yang mengadakan ialah Kementerian Kesihatan (MOH) dan jabatan-jabatan di bawahnya, kelmarin. Rombongan diketuai oleh Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar.
Majlis diisikan dengan bacaan Surah Yasin dan diikuti dengan bacaan tahlil beramai-ramai dan seterusnya bacaan Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam yang dipimpin oleh Ketua Unit Perkhidmatan Ugama Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha, Awang Ahmad Syuja’iee bin Begawan Mudim Haji Matassim.
Turut hadir ialah Setiausaha Tetap, Kementerian Kesihatan Haji Maswadi bin Haji Mohsin; Pemangku Timbalan Setiausaha Tetap (Dasar dan Pengurusan) Pengiran Mohammad Khiruddin bin Pengiran Haji Yusoff; Pemangku Ketua Pengarah Perkhidmatan Perubatan dan Kesihatan Pengiran, Dr Haji Mohd Khalifah bin Pengiran Haji Ismail; ketua-ketua jabatan berserta pegawai-pegawai dan kakitangan di Kementerian Kesihatan.
Sementara itu, seramai 32 ahli Persatuan Anggota Polis Diraja Brunei yang Bersara (POLSARA) yang diketuai oleh Yang Di-Pertua POLSARA, Supt (B) Haji Awang Yahya bin Haji Ibrahim turut mengadakan majlis sama, hari ini.
Turut sama ialah Timbalan Yang Di-Pertuan, Haji Awang Muhd Limon bin Haji Ahmad Kumpoh; Setiausaha Agung, Haji Rashid bin Haji Kassim; AJK Tertinggi dan Penasihat Bersama, Haji Murad bin Haji Abdul Hadi serta ahli-ahli POLSARA.
Majlis diisikan dengan bacaan Surah Yasin dan diikuti dengan bacaan tahlil beramai-ramai yang dipimpin oleh SM (B) Pengiran Haji Ludin bin Pengiran Haji Matahir.
Majlis itu merupakan aktiviti keagamaan tahunan yang dikendalikan oleh AJK POLSARA bersempena bulan Ramadan.


