Oleh Salawati Haji Yahya
BANDAR SERI BEGAWAN, 3 SEPT – Pasukan Bola Sepak Kementerian Kesihatan (MOH) terpaksa akur dengan kegagalan melangkah ke separuh akhir apabila tewas teruk kepada pasukan Bola Sepak Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (MOHA) dengan jaringan 0-10 pada kejohanan Bola Sepak Kementerian – Kementerian merebut Piala Keputeraan 2025 di Padang dan Belapan, Berakas, kelmarin.
Kejayaan besar MOHA bagai memberi amaran awal kepada pasukan Bola Sepak Kementerian Kebudayaan Belia dan Sukan (MCYS) yang akan berdepan pada peringkat separuh akhir minggu depan.

Kehebatan pasukan MOHA memang tidak disangkal oleh pemain-pemain MOH selepas menyaksikan gawang mereka lebih awal dibolosi di minit ke 12 menerusi Mohd. Amin Haji Sisa sebelum Muhammad Hafis Haji Mahari meledakkan rembatan kencang di minit ke 21.
Gerakan lincah pemain MOHA, sekali lagi menggegarkan gawang MOH apabila Muhammad Maududi Hilmi Kasmi menutup persaingan babak pertama dengan jaringan menarik di minit ke 45 untuk kedudukan 3-0.
Sekalipun pasukan MOH yang berjaya bangkit dibabak kedua dengan mengatur serangan dari tepi namun barisan depan MOH kerap ketandusan idea untuk membolosi gawang MOHA sebaliknya Md. Faiz Farhan Kamat dan Md. Nur Al Hafiz Haji Hamidi menambah jaringan buat MOHA.
MOHA lebih bertenaga dengan penguasaan di bahagian tengah dan aksi pertahanan lawan yang longgar memberikan kesempatan terbaik buat Hairul Azamain Shah Abdullah, Mohd. Amin Haji Sisia, Mohd Alinur Rashimy Awang Haji Jefri dan Maziri Maidin menyumbangkan jaringan besar buat MOHA dengan catatan 10-0
Sementarai itu, pertemuan suku akhir di Kompleks Sukan Berakas juga menarik dengan kejayaan pasukan Bola Sepak Kementerian Kebudayaan Belia dan Sukan (MCYS) menewaskan pasukan Bola Sepak Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri (MFA) dengan jaringan 3-2.
Mohd. Alielda Haji Metali menyumbang jaringan awal untuk pasukan MCYS di minit ke 15 tetapi Awang Bahrin Tamit menyamakan kedudukan seminit selepas itu.
Mohd. Alielda sekali lagi berjaya melebarkan jurang jaringan di minit ke 30 namun Nazirul Azmi Anuar meletakkan pasukan MFA berkongsi jaringan 2-2 di minit ke 45.
Penyokong MCYS berpesta selepas menyaksikan sentuhan menarik Mod. Hendra Azam Idiris yang berjaya menggegarkan gawang MFA di minit ke 56.
Keputusan kekal 3-2 berterusan sehingga ke wisel penamat sekaligus meletakkan pasukan MCYS berjaya melangkah ke separuh akhir.


