Oleh Sim Y.H. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 24 JULAI – Awang Mohamad Asyraf bin Mohamad Hamdilah dari Sekolah Al-Faalah, Ban 5 muncul johan Kategori Lelaki, manakala Dayang Nur’Izzatul Batrisya Maisarah binti Norshamsharin dari Sekolah Rendah (SR) Pengiran Dipa Negara Pengiran Jaya Sengkarai muncul johan Kategori Perempuan dalam Peringkat Akhir Pertandingan Membaca Jawi Sekolah-sekolah Rendah Senegara Tahun 2024 yang berlangsung di Teater Kuliah, Sekolah Sukan, hari ini.
Hadir untuk menyaksikan dan menyempurnakan penyampaian hadiah kepada para pemenang pertandingan ialah Pengarah Pendidikan Swasta, Kementerian Pendidikan, Awang Sofian Erwan bin Mohamad.
Pertandingan yang dibukakan kepada pelajar-pelajar sekolah rendah kerajaan dan swasta senegara itu, telah disertai oleh 20 orang peserta yang terbahagi kepada dua kategori iaitu Kategori Lelaki dan Kategori Perempuan.
Bagi Kategori Lelaki, tempat kedua jatuh kepada Awang Muhd Nurhassanal Hussein bin Muhd Salahuddin dari SR Amar Pahlawan dan tempat ketiga jatuh kepada Awang Muhammad Saifull Aiman bin Haji Mohammad Saifull Rizal dari Sekolah Kesuma Mekar.
Sementara itu, bagi Kategori Perempuan, tempat kedua jatuh kepada Dayang Siti Nur Asilah Alya binti Ilham dari SR Kiudang dan tempat ketiga jatuh kepada Dayang Nur Qistina Anabella binti Marzuki dari SR Beribi Telanai.
Pertandingan anjuran Bahagian Kegiatan Kerohanian, Jabatan Pendidikan Kokurikulum, Kementerian Pendidikan itu bermatlamat untuk meningkatkan penguasaan dan kemahiran dalam bacaan jawi dalam kalangan pelajar sekolah rendah serta membudayakan literasi Jawi melalui pembacaan.