Wednesday, October 16, 2024
26.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Mohamad Zulkhairy johan peraduan membaca khutbah

    Oleh Yusrin Junaidi –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 15 OKT – Awang Mohamad Zulkhairy bin Mohamad Azamy dari Belia Masjid Rancangan Perumahan Negara (RPN) Kampung Rataie Daerah Temburong muncul sebagai johan Peraduan Membaca Khutbah bagi Belia-belia Masjid Daerah Temburong Tahun 1446H/2024M yang berlangsung di masjid berkenaan.

    Peraduan Membaca Khutbah bagi Belia-belia masjid anjuran ahli Jawatankuasa Takmir Masjid RPN Kampung Rataie dengan kerjasama Pejabat Hal Ehwal Masjid Daerah Temburong disertai oleh seramai 11 dalam kalangan belia masjid Daerah Temburong.

    Hadir selaku tetamu kehormat dan seterusnya menyampaikan hadiah kepada pemenang ialah Pemangku Pengarah Hal Ehwal Masjid, Kementerian Hal Ehwal Ugama, Haji Amir Hisham bin Haji Masri.

    Antara tujuan peraduan itu diadakan adalah untuk menimbulkan sifat keberanian dalam diri belia bagi tampil di khalayak ramai. Selain itu dapat mengisi masa lapang para belia masjid dengan aktiviti-aktiviti yang lebih berfaedah seterusnya dapat melahirkan belia-belia masjid yang aktif dalam aktiviti-aktiviti keagamaan.

    Selain itu, ia juga untuk mencungkil bakat dan kebolehan para belia masjid dan dihasrat dapat melahirkan pelapis-pelapis dalam kalangan belia yang mungkin akan menjadi pegawai masjid pada masa akan datang.

    Acara tersebut juga bertujuan untuk dijadikan salah satu kegiatan tahunan Masjid RPN Kampung Rataie Daerah Temburong sekali gus memilih wakil bagi Daerah Temburong bagi menyertai peraduan membaca khutbah belia masjid di peringkat kebangsaan nanti.

    Haji Amir Hisham menyampaikan hadiah kepada johan peraduan berkenaan. – GAMBAR OLEH YUSRIN JUNAIDI
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda