Friday, December 27, 2024
23.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Mohamed Salah inspirasi kanak-kanak Mesir

    KAHERAH – Jauh di pedalaman kawasan delta Nil di Mesir, kanak-kanak Kampung Nagrig mempunyai matlamat jelas dalam hidup mereka: Mereka mahu menjadi bintang bola sepak terkenal seperti Mohamed Salah, penjaring terbanyak Liverpool dan pemain terbaik Afrika.

    Salah, yang berasal dari kampung itu, telah menjadi sensasi Liga Perdana sejak menyertai Liverpool, dengan jaringan kemenangannya ke atas Southampton merupakan gol peribadi ke-29nya musim ini.

    Menaikkan lagi status wira kebangsaannya, Salah memainkan peranan penting dalam mengetuai Mesir ke Piala Dunia di Rusia tahun ini.

    Mohamed Abdel-Gawad, 12, merenung penuh inspirasi rumah tiga tingkat di mana Salah dilahirkan dan dibesarkan, yang mempunyai pemandangan jalan-jalan raya yang kotor seperti kebanyakan rumah di kampung itu, kira-kira 120 kilometer barat laut Kaherah.

    “Saya mahu menjadi seperti Mohamed Salah besar nanti,” kata Abdel-Gawad.

    Gambar menunjukkan kampus di mana Mohamed Salah belajar di kampungnya, Nagrig. – AFP
    Di Nagrig, begitu juga di Basyoun, pekan paling dekat dengan kampung itu, pusat-pusat belia telah diberikan nama baru bersempena bintang Mesir itu. – AFP

    “Mohamed Salah telah menjadi pemain profesional kerana etika dan rendah dirinya.”

    Di Nagrig, begitu juga di Basyoun, pekan paling dekat dengan kampung itu, pusat-pusat belia telah diberikan nama baru bersempena bintang Mesir itu.

    Sedar dengan kejayaannya telah menjadi inspirasi bagi kanak-kanak di Mesir dan Afrika secara meluas, Salah ada menyebut mengenai mereka dalam ucapannya ketika memenangi anugerah Pemain Terbaik Afrika pada bulan Januari, dengan memberitahu mereka: “Jangan pernah berhenti menaruh impian, jangan pernah berhenti percaya.”

    Sementara itu rumah bapa kepada pemain itu, Salah Ghali, serupa dengan rumah-rumah lain di kampung itu, ia lebih sunyi, tiadak seorang pun berada di luar jendela dan tidak ada pakaian tergantung di luar rumah.

    Kampung itu menjadi tumpuan besar media apabila Salah menjadi terkenal, tetapi ahli-ahli keluarga di Nagrig menolak untuk bercakap dengan para wartawan ‘kerana menghormati permintaan pemain itu’.

    Semangat kental, usaha dan keazaman

    Perjalanan Salah hingga mencapai ke tahap ketika ini jauh daripada senang.

    “Bakatnya jelasnya terbukti dari awal,” kata Ghamri Abdel-Hameed el-Saadani, yang merupakan jurulatih junior di Pusat Belia Nagrig, di mana Salah memulakan latihan di usia lapan tahun.

    Namun, kejayaan Salah bukan hanya bergantung pada bakatnya, “ia juga adalah hasil semangat kental, usaha dan keazaman,” kata Saadani.

    Datuk bandar kampung itu, Maher Shateyya, rakan kepada keluarga Salah, penuh bangga apabila bercakap mengenai Salah.

    “Mohamed baru berusia 14 tahun semasa dia menyertai kelab Arab Contractors di Kaherah dan dia terpaksa mengharungi hampir 10 jam sehari untuk membuat perjalanan bagi mengikuti sesi latihan,” kata Shateyya mengenai ‘perjalanan penuh sengsara’ Salah.

    Nagrig ke Basypun, kemudian ke Bandar Tanta, ibu negeri Al-Gharbiya, kemudian menaiki sebuah bas ke Kaherah, dan akhirnya ke kejiranan Bandar Nasr di mana kelab itu terletak.

    Salah membesar dalam keluarga sukan, di mana bapanya dan dua bapa saudaranya bermain bola sepak di kelab belia di Nagrig.

    “Apabila bapanya sedar mengenai bakat anak lelakinya, dia berazam untuk memasukkannya ke sebuah kelab besar,” kata Shateyya.

    Beberapa orang remaja Mesir bermain bola sepak di Pusat Belia Mohamed Salah. Kanak-kanak Kampung Nagrig mempunyai matlamat jelas dalam hidup mereka iaitu menjadi bintang bola sepak terkenal seperti Mohamed Salah. – AFP
    Ghamri Abdel-Hameed el-Saadani berkata kejayaan Salah bukan hanya bergantung pada bakatnya, tetapi juga adalah hasil semangat kental, usaha dan keazaman. – AFP

    “Pada mulanya, Salah bermain dengan pasukan di pekan Basyoun, kemudian dia berpindah ke Bandar Tanta sebelum dia diambil oleh Pasukan Arab Contractors.”

    Bermula dengan pasukan bawah-15 tahun, Salah meluangkan masa lima tahun di sana sebelum bakatnya membawanya ke luar negara dan ke kelab Switzerland, Basel.

    Salah bekerja keras mengatasi hadnya dan kebolehannya untuk menembusi pertahanan-pertahanan pasukan lain, menurut jurulatih Arab Contractors, Said el-Shishini.

    Dia mengimbas kembali kebolehan mengelecek yang memperlihatkan jumlah jaringan Salah bagi Liverpool: “Dia akan membawa bola dari tengah padang dan terus ke kawasan penalti.”

    Dari Basel, Salah berpindah ke Chelsea tetapi gagal untuk menembusi pasukan utama. Dia kemudian pergi ke Itali di mana permainannya di Roma mencuri perhatian Liverpool dan dia telah ditandatangani tahun lepas dalam satu perjanjian yang mungkin mencapai 44 juta pound.

    Balik kampung

    Salah dibesarkan dalam sebuah keluarga tradisional, di mana kedua ibu bapanya bekerja di sektor kerajaan di kampung tersebut. Selain bekerja dengan kerajaan, bapa Salah juga berniaga bunga melati, eksport utama Nagrig bagi penghasilan pewangi.

    Di Nagrig, dia mempunyai ladang melati yang sangat luas, berbunga pada musim bunga.

    Salah berkahwin dengan Magi, juga dari Nagrig, ketika berusia 20 tahun, dan isterinya telah melahirkan seorang anak perempuan yang diberi nama Makka, diambil bersempena kawasan suci Islam di Arab Saudi.

    Pemain sayap Liverpool itu masih menggunakan cuti tahunannya bersama isteri dan anak perempuannya di Nagrig, menunjukkan Salah tidak pernah melupakan asal usulnya.

    Dia telah mendermakan wang kepada unit-unit penjagaan rapi di Hospital Pusat Basyoun dan kepada sebuah pusat agama di Nagrig, yang masih belum dibina, menurut Saadani.

    Salah juga mengasaskan sebuah badan amal di Nagrig yang menyediakan 50,000 pound Mesir (AS$2,800) sebulan kepada mereka yang memerlukan.

    “Dia sangat pemurah, Mohamed yang berusia lapan tahun adalah Mohamed yang sama (kini), pemain terbaik Afrika.” – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda