Oleh Pg Fairol RMF
BANDAR SERI BEGAWAN, 30 Nov – Awang Mohammad Hilmy bin Haji Ahmad hari ini telah terpilih sebagai calon ketua kampung Rancangan Perumahan Negara (RPN) Panchor Mengkubau setelah undian dijalankan di Taman Riadah Jalan Bukit Mengkubau dan Taman Permainan Jalan Bukit Sinadur, pagi tadi.
Hasil daripada 189 orang yang turun mengundi daripada 1,484 orang yang layak mengundi, keputusan menunjukkan 11.253 peratus bersetuju, 1.280 peratus tidak setuju dan 0.202 peratus undi rosak.
Awang Mohammad Hilmy, 47, dengan latar belakang sebagai Pengurus di PAR Corporation Sdn Bhd selama 10 bulan dan bersara dari DST Group Sdn Bhd setelah berkhidmat selama 16 tahun sebagai pembantu pengurus.
Selain mempunyai BDTVEC Diploma Kebangsaan dalam Radio, Televisyen dan Teknologi Elektronik pada tahun 1997, beliau juga mempunyai kelulusan City and Guilds of London Insti-tute dalam bidang perkhidmatan elektronik tahun 1993.
Keputusan undian ini akan dihadapkan kepada pihak Jawatankuasa Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri untuk ketetapan selanjutnya.

Terdahulu, sebelum pengundian dijalankan, Pegawai Daerah Brunei dan Muara, Awang Misle bin Haji Abdul Karim dalam ucapannya menjelaskan, jawatan ketua kampung RPN Kampung Panchor Mengkubau, Mukim Mentiri merupakan jawatan baharu.
“Ia diwujudkan setelah diperkenankan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam melalui persuratan Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri bertarikh 26 Januari 2015,” jelas Awang Misle.
Menurutnya lagi, penelitian dan penilaian Jabatan Daerah Brunei dan Muara mendapati calon memenuhi kelayakan dan persyaratan baharu Skim Perkhidmatan Penghulu Mukim dan Ketua Kampung Negara Brunei Darussalam 2013 yang antara lain hendaklah sekurang-kurangnya berusia antara 30 dan 55 tahun serta memiliki GCE ‘O’ Level.
“Sesi temu duga bersama calon telahpun dihadapkan ke Lembaga Perjawatan, Disiplin, Tatatertib Penghulu Mukim dan Ketua Kampung, Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri yang telah mengambil maklum dan membenarkan calon tunggal untuk dibawa ke Majlis Pengundian dan Pemilihan pada pagi ini,” jelas Awang Misle.
Menurut beliau lagi, selain bertanggungjawab dalam hal ehwal kebajikan dan kemasyarakatan penduduk, ketua kampung juga mempunyai tanggungjawab yang besar dalam keselamatan, kesejahteraan, keharmonian kampung masing-masing.
Awang Misle percaya calon ketua kampung mampu memikul tanggungjawab yang diberikan dan diamanahkan seterusnya mewujudkan komitmen persefahaman, permuafakatan dan kerjasama yang erat di kampung itu nanti.
“Sementara itu, tambah beliau, sokongan padu daripada anak buah kampung sangat penting dalam merancang dan melaksanakan kegiatan kemajuan kampung,” jelas Awang Misle.