Oleh Sim Y.H.
KUCHING, 25 SEPT- Atlet olahraga Negara Brunei Darussalam, Mohammiod Arif bin Zulkifli berjaya untuk mengutip pingat gangsa di Sukan Borneo Ke-6 dalam acara 1,500 M yang berlangsung di Stadium Sarawak, Petra Jaya, Kuching, Sarawak, hari ini.
Dalam acara berkenaan, pingat emas menjadi milik atlet Kalimantan Timur iaitu Akhvbar Tanjung dengan mencatatkan masa 4:11.09, pingat perak pula dimenangi oleh atlet Sarawak iaitu Danial Hakim bin Mohammed Omar dengan mencatatkan masa 4:12.63 dan pingat gangsa ialah Mohammiod Arif dengan mencatatkan masa 4:14.55.
Sukan Borneo Ke-6, 2025 yang berlangsung di Kuching, Sarawak itu bermula pada 24 September hingga 28 September.
Kontinjen Negara Brunei Darussalam seramai 36 orang diketuai oleh Chef de Mission, Pemangku Pengarah Belia dan Sukan, Jabatan Belia dan Sukan, Haji Mohamad Rosfazilah bin Haji Yusly.
Pada edisi Sukan Borneo kali ini, Negara Brunei Darussalam akan menyertai sebanyak lima daripada lapan acara sukan yang dipertandingkan iaitu Akuatik (Renang), Badminton, Olahraga, Boling Padang dan Tarik Tali.


