KUALA LUMPUR, 28 MEI – Pemain tengah baharu UiTM FC, Mohd Alif Samsudin bersedia mencurahkan ilmu dan pengalamannya bagi mengelak skuad ‘The Lions Troop’ tersingkir daripada pentas Liga Super musim depan.
Bekas pemain Kuala Lumpur City FC (KL City) yang berpengalaman selama 12 tahun dalam Liga Malaysia (Liga-M) itu menjelaskan tiada kelemahan ketara dilihat dalam pasukan UiTM FC melainkan kekurangan pengalaman pemain muda tempatan yang menjadi tembok pemisah daripada pasukan ternama lain.
Perkara itu menjadi perhatiannya ketika beliau sendiri beraksi membantu UiTM FC menentang KL City FC dan meraih keputusan seri 1-1 pada 8 Mei lalu yang menunjukkan perubahan ketara pada skuad kendalian Frank Bernhardt itu.
“Saya dipanggil di sini oleh staf kejurulatihan untuk membantu pemain-pemain muda setelah mereka melihat beberapa kelemahan ketara terutama di bahagian tengah.
“Sebenarnya pemain muda dalam pasukan ini semuanya tiada masalah cuma apa yang saya dapati mereka tiada pembimbing yang boleh beri arahan di atas padang,” katanya dalam kenyataan dikeluarkan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) hari ini. – Bernama