Oleh Fadhil Yunus –
BANDAR SERI BEGAWAN, 5 MEI – Perenang para Negara Brunei Darussalam, Mohd Danial Hakim bin Harjimmey menampilkan aksi cemerlang dalam Litar Renang Para apabila menggondol lima pingat emas dan satu perak dalam kejohanan tiga hari yang berlangsung di Pusat Akuatik Negara Bukit Jalil di Kuala Lumpur, Malaysia, baru-baru ini.
Pada hari terakhir kejohanan, atlet berusia 22 tahun itu menambah dua lagi pingat emas dalam acara 50 meter (m) gaya bebas dan 400m gaya bebas, sekali gus melengkapkan kemenangan bersih sepanjang penyertaannya.
Dalam acara 50m gaya bebas, dia mencatatkan masa 36.16 saat (s), mengatasi rekod lama 36.57s, manakala dalam acara 400m gaya bebas, dia merekodkan 6:28.65s, jauh lebih pantas berbanding rekod sebelumnya 6:48.25s.
Sebelum itu, dia telah pun merangkul tiga pingat emas dan satu perak dalam acara terdahulu, serta memastikan kedudukan podium dalam setiap penyertaan.
Sepanjang kejohanan, dia bersaing dengan perenang dari beberapa negeri Malaysia termasuk Sarawak, Kelantan, Kedah, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Selangor.
Mohd Danial Hakim turut mencatat lima rekod kebangsaan baharu sepanjang kempen kali ini, sekali gus menetapkan penanda aras masa yang tiada tandingan dalam buku rekod negara.
Kejohanan tersebut dianjurkan oleh Majlis Sukan Negara (MSN) Malaysia dengan kerjasama Persatuan Renang Para Malaysia (PREPMA).
