Oleh James Kon –
BANDAR SERI BEGAWAN, 30 OKT – Perenang para Brunei, Mohd Danial Hakim Harjimmey mengharumkan nama negara apabila berjaya meraih empat pingat emas dan memecahkan beberapa rekod kebangsaan pada Kejohanan Terbuka Malaysia ke-2 atau Siri Kejohanan Renang Para Kebangsaan Allianz bagi pusi-ngan akhir, anjuran Majlis Sukan Negara (MSN) Malaysia dengan kerjasama Persatuan Renang Para Malaysia (PREPMA) yang berlangsung di Pusat Akuatik Kebangsaan, Bukit Jalil, Kuala Lumpur.
Mohd Danial Hakim (kategori S7) memulakan aksi cemerlang pada hari pertama kejohanan kelmarin dengan menjuarai 100 meter (m) gaya bebas S7, sekali gus mencatatkan rekod kebangsaan baharu dengan masa 1:18.22, mengatasi rekod terdahulu 1:21.25.
Dia kemudian mendominasi acara 50m kuak dada SB6–SB7, menambah satu lagi pingat emas serta mencatat rekod baharu 51.30 saat (s) berbanding rekod lama 54.84s.
Pada hari kedua kejohanan, Mohd Danial Hakim mengekalkan prestasi cemerlang dengan menambah dua lagi pingat emas dan mencatat rekod kebangsaan baharu yang mana dia memenangi 50m gaya bebas S7 dengan catatan34.98s (rekod lama 36.16s), diikuti kemenangan dalam 50m kuak lentang S7 dalam masa 43.50s, menandakan rekod kebangsaan terkini berbanding 45.47s sebelum ini.
Sementara itu, Awangku Mohd Amirul Wijaya bin Pengiran Zainal Abidin (S14) juga menunjukkan prestasi memberangsangkan dengan mencatat masa peribadi terbaik dalam ketiga-tiga acara yang disertainya. Kelmarin dia berjaya mencatatkan 1:04.14 dalam 100m gaya bebas S14, menambah baik rekod peribadi terdahulu 1:08.89.
Dalam pertandingan hari kedua, Awangku Mohd Amirul Wijaya sekali lagi memperlihatkan peningkatan dengan mencatat dua rekod peribadi baharu, 50m gaya bebas S14 dalam masa 28.92s (rekod lama 30.33s) dan 50m kuak lentang S14 dengan catatan 35.96s (rekod lama 37.44s).
Kedua-dua perenang tersebut telah menunjukkan kemajuan dan semangat tinggi dalam persiapan menghadapi pertandingan serantau yang akan datang.
Pasukan Renang Para Brunei Darussalam turut merakamkan penghargaan kepada semua penyokong, jurulatih dan pegawai atas sokongan berterusan serta bimbingan sepanjang kejohanan berlangsung.


