Oleh Yusrin Junaidi –
TUTONG, 21 SEPT – Awang Mohd Hadi Saifullah bin Abdul Rahim muncul juara Pertandingan Mini Puisi Islami sempena Sambutan Maulud Nabi Muhammad SAW yang berlangsung di Masjid Ar-Rahim, Kampung Bukit Panggal, Daerah Tutong.
Sementara itu, di tempat kedua dimenangi oleh Dayang Nurul Afiqah binti Lamit, manakala tempat ketiga disandang oleh Awang Mohammad Faizal bin Awang Lalim. Pertandingan berkenaan menarik penyertaan seramai 10 belia dan beliawanis masjid.
Acara tersebut merupakan sebahagian daripada Bengkel dan Pertandingan Mini Puisi Islami anjuran Jabatan Hal Ehwal Masjid (JHEM) melalui Bahagian Hal Ehwal Belia dan Ahli Jawatankuasa (AJK) Takmir Masjid Ar-Rahim dengan kerjasama Pejabat Hal Ehwal Masjid dari keempat-empat daerah.
Hadir sama menyaksikan program berkenaan ialah Ketua Bahagian Hal Ehwal Belia, JHEM, Kementerian Hal Ehwal Ugama, Haji Yusli bin Haji Ashli.
Program turut mengundang Penolong Pensyarah, Fakulti Sastera dan Sains Sosial, Universiti Brunei Darussalam, Dr Syahwal Nizam bin Haji Yani, sebagai pembengkel.
Acara diakhiri dengan penyampaian hadiah dan sijil kepada para peserta dan pemenang pertandingan yang disempurnakan oleh Pegawai Hal Ehwal Masjid, Masjid Ar-Rahim, Kampung Bukit Panggal, Haji Kamaluddin bin Haji Abdul Rahman. Beliau turut menyampaikan cenderahati kepada pembengkel jemputan.
Penganjuran program tersebut antara lain bertujuan menggalakkan belia menzahirkan kecintaan terhadap Rasulullah SAW melalui seni bahasa, di samping memberi pendedahan ringkas tentang teknik penulisan dan deklamasi, serta menghidupkan suasana sambutan maulid dengan aktiviti kreatif yang bermanfaat.




