Oleh Sim Y.H. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 19 MEI – Mohd Hanis Hidayatullah bin Abdullah dari Sekolah Menengah (SM) Pengiran Isteri Hajah Mariam muncul johan dalam Kejohanan Piala Pusingan Teqball Peringkat Sekolah Menengah 2025 yang berlangsung di Dewan Serba Guna, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah, Berakas, kelmarin.
Kejohanan berkenaan mempertandingkan Kategori Perseorangan Lelaki dan menghimpunkan para pelajar dari enam buah sekolah menengah di seluruh negara.
Kejohanan itu dianjurkan bagi menggalakkan penglibatan belia dalam sukan teqball yang semakin berkembang, dengan sokongan dari Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) serta Kementerian Pendidikan melalui Jabatan Pendidikan Kokurikulum (JPK).
Hadir pada majlis berkenaan bagi menyaksikan perlawanan dan menyempurnakan penyampaian hadiah kepada pemenang kejohanan ialah Pegawai Pelajaran Kanan merangkap Ketua Bahagian Jasmani dan Rekreasi, JPK, Awang Sukardi bin Kaderi.
Turut hadir bagi sama-sama menyempurnakan penympaian hadiah ialah Presiden Persatuan Teqball Brunei Darussalam, Awang Mohammad Shukri bin Haji Damit.
Perlawanan akhir kejohanan berkenaan menyaksikan Mohd Hanis Hidayatullah mempamerkan aksi cemerlang dengan menewaskan Mohd Akmal Amirul Syazlan bin Mohd Sairual Rizal dari Sekolah Sukan dengan keputusan 12-6 dan 12-7.
Bagi perlawanan tempat ketiga, Muhammad Nurizmawi bin Mohd Rizal dari SM Katok berjaya menewaskan Muhammad Azri Haikal bin Hamdillah dari Sekolah Sukan dengan keputusan 12-3 dan 12-8.
Kejohanan itu menyaksikan peserta dari enam buah sekolah beraksi untuk merebut gelaran johan iaitu SM Katok, SM Pengiran Isteri Hajah Mariam, SM Pengiran Jaya Negara Pengiran Haji Abu Bakar, SM Rimba, Sekolah Sukan dan SM Pehin Datu Seri Maharaja.
Pihak penganjur kejohanan merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua sekolah yang terlibat, agensi-agensi kerajaan yang memberikan sokongan serta para penaja atas kerjasama mereka dalam memartabatkan sukan teqball sebagai sukan baharu yang semakin mendapat tempat di Negara Brunei Darussalam.