Wednesday, October 9, 2024
29 C
Brunei

    Berita Terkini

    Mohd Huzaimi, Juhaida juara murattal Quran

    Oleh Yusrin Junaidi –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 8 OKT – Awang Mohd Huzaimi bin Haji Jumat dan Dayang Juhaida binti Haji Tahamit muncul sebagai juara Peraduan Membaca Al-Quran Secara Murattal bagi guru-guru agama Kawasan Brunei 3 yang berlangsung di Dewan Sekolah Ugama Jerudong, hari ini.

    Seterusnya tempat kedua dan ketiga lelaki dan perempuan dimenangi oleh Awang Ijlal Hatim bin Haji Mohd Yunos, Haji Mohd Amirul Rashid bin Haji Wahab, Dayang Noorziana Wati binti Haji Mat Serudin dan Hajah Nurul Aina binti Lamit.

    Hadir selaku tetamu khas majlis sekali gus menyampaikan hadiah kepada pemenang ialah Penolong Pengarah (Perkhidmatan Korporat), Jabatan Pengajian Islam (JPI), Kementerian Hal Ehwal Ugama, Dayang Haslinah Susanti binti Haji Mohd Hassan.

    Majlis dimulakan dengan bacaan Surah A-Fatihah, diikuti oleh ucapan alu-aluan daripada pengerusi Jabatan Pengajian Islam melalui Jawatankuasa Pemimpin Sekolah-sekolah Ugama (JKPSSU) Kawasan Brunei 3, Haji Muhd Said bin Haji Mustapa.

    Peraduan tersebut merupakan anjuran (JKPSSU) Kawasan Brunei 3 bertujuan bagi memperkasa kemahiran membaca Al-Quran dan mencungkil bakat qari dan qariah dalam kalangan guru agama.

    Majlis seterusnya memperdengarkan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran daripada enam peserta yang layak ke peringkat akhir pertandingan, yang terdiri daripada tiga peserta lelaki dan tiga peserta perempuan.

    Majlis turut diserikan dengan persembahan khas bacaan ayat-ayat suci Al-Quran secara taranum oleh Awang Mohd Zulzawawi bin Mazlan dari Sekolah Ugama Beribi, Telanai. Setelah itu, majlis diteruskan dengan pengumuman keputusan pertandingan dan penyampaian hadiah.

    Peraduan tersebut merupakan kesinambungan Program Tahsin Qiraatil Quran yang dilaksanakan oleh JPI bagi mendukung hasrat kerajaan untuk melahirkan lebih ramai pembaca Al-Quran yang berkualiti, sejajar dengan gagasan negara bagi menjadikan sebuah Negara Zikir, serta mencapai wawasan negara 2035.

    Di samping itu, ia juga dapat memupuk minat dan mengasuh bakat para peserta dalam bidang pembacaan Al-Quran, sekali gus melahirkan pelapis-pelapis qari dan qariah yang berpotensi di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

    Dayang Haslinah Susanti semasa menyampaikan hadiah kepada Awang Mohd Huzaimi. – GAMBAR SERAHAN JPI
    Dayang Haslinah Susanti semasa menyampaikan hadiah kepada Dayang Juhaida. – GAMBAR SERAHAN JPI
    GAMBAR SERAHAN JPI
    GAMBAR SERAHAN JPI

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda