Oleh Salawati Haji Yahya –
BANDAR SERI BEGAWAN, 9 FEB – Persatuan Hotel Brunei (BAH), organisasi terkemuka yang mewakili 27 hotel di Negara Brunei Darussalam, telah mengumumkan pemilihan semula Awang Mohammad Iswandi bin Haji Maaruf sebagai Presiden BAH untuk satu lagi penggal baharu pada majlis yang berlangsung di Hotel Mulia, Kampung Anggrek Desa, baru-baru ini.
Keputusan itu dibuat oleh ahli-ahli eksekutif dan ahli lain yang telah mencerminkan keyakinan terhadap kepimpinan dan dedikasi beliau terhadap ahli serta industri hospitaliti.
Pengarah Jualan dan Pemasaran, Hotel Radisson, Paula Munoz mengongsikan pandangan beliau terhadap pemilihan itu dengan menjelaskan, “Kami memilih semula Awang Mohd Iswandi sebagai Presiden BAH disebabkan oleh pengalaman luas beliau dalam industri hospitaliti, selain kepimpinan yang terbukti dalam pengurusan hotel, serta dedikasi dan komitmennya untuk memajukan sektor pelancongan Brunei.
“Selain itu, kami juga percaya dengan rekod pencapaian yang menunjukkan kerjasama dan pelaksanaan inisiatif hospitaliti yang berjaya dan menempatkan beliau berada dalam kedudukan baik untuk memimpin persatuan ke arah pencapaian matlamatnya,” jelasnya lagi.
Manakala Pengurus Besar Hotel Brunei, Andy Goh turut melihat Awang Mohd Iswandi memiliki semangat tinggi dalam memastikan perkhidmatan pelanggan dalam industri hotel berada pada tahap terbaik dan sangat mengagumkan.
![](https://mediapermata.com.bn/wp-content/uploads/2025/02/P7-Lead-Mohd_10022025.jpg)
Tambahnya lagi, “Beliau juga telah menawarkan diri untuk melatih kakitangan industri hotel mengenai perkhidmatan pelanggan asas, perkhidmatan makanan dan minuman, serta operasi pengemasan.
“Jabatan Kemajuan Pelancongan juga sedang membantunya dalam menyediakan beberapa latihan kepada industri,” jelasnya.
Sementara Pengarah Jualan dan Pemasaran, The Empire Brunei, Dayang Maryani Sabtu pula mengongsikan, penglibatan pertama Awang Mohd Iswandi pada tahun 2019, beliau telah memainkan peranan penting dalam mengukuhkan industri hotel, memperjuangkan dasar-dasar penting, menggalakkan kerjasama di antara pemegang kepentingan dalam industri dan melaksanakan inisiatif yang meningkatkan pengalaman tetamu serta kecekapan operasi.
Dua ahli eksekutif baharu yang dipilih adalah Dayang Maryani dari The Empire Brunei dan Molly Bong dari Hotel Mulia, sementara enam ahli eksekutif yang lain kekal dan masih menyandang jawatan mereka dalam persatuan berkenaan, iaitu Awang Mohd Iswandi selaku Presiden; Dayang Safawati Salim selaku Timbalan Presiden; Paula Munoz selaku Setiausaha Kehormat; Conrad Boyd Mosidin selaku Bendahari Kehormat; dan Andy Goh selaku Ahli Eksekutif.