PETALING JAYA, 29 OGOS – Peletakan jawatan Datuk Mohd Joehari Mohd Ayub sebagai Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) baru-baru ini merupakan keputusan peribadi, kata Pemangku Presiden FAM Datuk Mohd Yusoff Mahadi.
Beliau berkata tiada campur ‘tangan ghaib’ di sebalik keputusan Mohd Joehari melepaskan jawatan kerusi nombor satu badan induk yang memayungi bola sepak negara itu.
“Saya tidak tahu. Ini keputusan peribadi dia (Mohd Joehari)…kenapa dan bagaimana, apa semua itu saya tak boleh jawab.
“Apa yang mustahak, kita pihak exco (Jawatankuasa Eksekutif) ikut perlembagaan kita. Kita bawa dalam mesyuarat, semua setuju dan hormati keputusan dia,” katanya pada sidang media di sini hari ini.
Rabu lepas, FAM dalam kenyataan mengesahkan Mohd Joehari telah menyatakan hasrat melepaskan jawatan presiden menerusi surat peletakan jawatan dihantar baru-baru ini.
Justeru, Jawatankuasa Eksekutif FAM dipanggil untuk mesyuarat khas kedua penggal 2025-2029 di Wisma FAM Kelana Jaya, dipengerusikan Mohd Yusoff selaku Timbalan Presiden bagi membincangkan perkara tersebut.
FAM pada masa sama juga memaklumkan Jawatankuasa Eksekutif telah bersetuju menamakan Mohd Yusoff sebagai Pemangku Presiden FAM berkuat kuasa serta-merta, selaras dengan peruntukan dalam Statut FAM. – Bernama


