Friday, March 14, 2025
32.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Mohd Qais Zulqarnain, Noor Nayla Naufalyn juara pertandingan hafazan

    Oleh Salawati Haji Yahya – 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 13 MAC – Awang Mohd Qais Zulqarnain bin Mohd Hadi Sumardi dari Sekolah Rendah (SR) Awang Haji Mohd Yusof Katimahar dan Dayang Noor Nayla Naufalyn @ Alaila binti Mohd Syarqawi dari SR Mabohai, masing-masing diumumkan sebagai juara dalam Kategori Lelaki dan Perempuan Peringkat Akhir Pertandingan Hafazan Al-Quran Khusus Bagi Pelajar-pelajar Berkeperluan Khas dari Sekolah-sekolah Rendah Kerajaan.

    Hadir selaku tetamu kehormat dan seterusnya menyampaikan hadiah kepada pemenang ialah Yang Di-Pertua Persatuan Pendidikan Khas (FITRAH), Hajah Norjum binti Haji Yusop, pada majlis yang berlangsung di Balai Khazanah Islam Sultan Haji Hassanal Bolkiah, hari ini.

    Majlis turut menyaksikan pemenang tempat kedua dalam Kategori Lelaki yang dimenangi oleh Awang Mohd Rafa Muttaqin bin Haji Samrin dari SR Sengkurong dan Kategori Perempuan ialah Dayang Siti Nur Aisyah binti Abdullah dari SR Datu Ratna Haji Muhammad Jaafar Kiarong.

    Sementara itu, tempat ketiga disandang oleh Awang Mohd Adam Ashraff bin Abdullah dari SR Lumapas dalam Kategori Lelaki dan Dayang Nur Amniya Damia binti Azeme dari SR Dato Othman dalam Kategori Perempuan.

    Pertandingan tersebut merupakan kali ketiga dianjurkan oleh Jabatan Pendidikan Khas yang disertai oleh 54 orang pelajar berkeperluan khas yang mewakili sekolah-sekolah rendah kerajaan dari kluster 1 hingga 6.

    ATAS & BAWAH: Hajah Norjum menyampaikan hadiah kepada salah seorang pemenang pertandingan berkenaan. – GAMBAR SERAHAN KEMENTERIAN PENDIDIKAN
    GAMBAR SERAHAN KEMENTERIAN PENDIDIKAN
    Majlis turut menyaksikan persembahan nasyid daripada pelajar-pelajar berkeperluan khas dari SR Rendah Rimba 2. – GAMBAR SERAHAN KEMENTERIAN PENDIDIKAN
    GAMBAR SERAHAN KEMENTERIAN PENDIDIKAN
    GAMBAR SERAHAN KEMENTERIAN PENDIDIKAN

    Daripada jumlah tersebut, hanya 12 peserta dari 12 buah sekolah rendah kerajaan berjaya memasuki pusingan akhir.

    Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Doa Selamat, sekali gus turut menyaksikan tayangan video sekitar pertandingan separuh akhir dan persembahan nasyid bertajuk Hayya Nadzkurullah oleh pelajar-pelajar berkeperluan khas dari SR Rendah Rimba 2.

    Antara lain objektif utama pertandingan itu adalah untuk mengintegrasikan bacaan Al-Quran ke dalam rutin harian pelajar dan memupuk pemahaman yang lebih mendalam tentang ayat-ayat suci Al-Quran.

    Selain memperjuangkan konsep Pendidikan Inklusif, khususnya prinsip ‘APA’, iaitu Mengakses, Menyertai dan Mencapai bagi memastikan pelajar berkeperluan khas mempunyai peluang yang sama dalam pelbagai bidang, termasuk menguasai bacaan Al-Quran.

    Turut hadir ke pertandingan tersebut, pegawai-pegawai kanan dari Kementerian Pendidikan, pemimpin-pemimpin sekolah serta para ibu bapa.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda