BANDAR SERI BEGAWAN, 20 JULAI – Awang Mohammad Riduwan bin Johari dari Masjid Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah, Kampung Bolkiah A, Daerah Brunei dan Muara, Zon 1 dan Dayang Najwa Syukriah binti Mohammad Amin dari Masjid Kampung Puni, Daerah Temburong, masing-masing muncul johan Pertandingan Da’ie Belia Masjid Senegara Tahun 2025 bagi kategori belia dan beliawanis pada majlis yang berlangsung di Masjid Universiti, Universiti Brunei Darussalam (UBD), kelmarin.
Semasa pertandingan tersebut, Awang Mohammad Riduwan menyampaikan tazkirah bertajuk Syariat Dijunjung, Raja Disanjung, Rakyat Taat, Berkat Bersambung dan Dayang Najwa Syukriah menyampaikan tazkirah bertajuk Daulat Tuanku, Dari Hati Rakyat Kecil.
Hadir selaku tetamu kehormat dan seterusnya menyampaikan hadiah kepada para pemenang ialah Pemangku Pengarah Hal Ehwal Masjid, Jabatan Hal Ehwal Masjid (JHEM), Kementerian Hal Ehwal Ugama, Haji Amir Hisham bin Haji Masri.
Sementara itu, bagi kategori belia tempat kedua disandang oleh Awang Mohammad Hadi Saifullah bin Abdul Rahim dari Masjid Kampung Sungai Liang, Daerah Belait, yang menyampaikan tazkirah Bersyukur Mempunyai Raja Beriman. Awang Mohammed Khairul Mu’az bin Haji Sibodaud dari Masjid Mohamed Bolkiah, Kampung Serusop, di tempat ketiga dengan tazkirah Raja Berdaulat Rakyat Berkhidmat.
Manakala bagi kategori beliawanis, tempat kedua dimenangi oleh Dayang Norafifah binti Haji Latif dari Masjid Kampung Pelambayan, Daerah Brunei dan Muara, Zon 1, yang menyampaikan tazkirah Menyemai Kasih dan Makna Raja Berjiwa Rakyat. Tempat ketiga dimenangi oleh Dayang Nur Zahidah binti Abdul Rahman dari Jame’ ‘Asr Hassanil Bolkiah, Daerah Brunei dan Muara dengan tajuk tazkirah Kepimpinan Yang Dikasihi.
Pertandingan yang disertai oleh 19 orang peserta dengan mengetengahkan tema Raja Berdaulat, Rakyat Kasih dan Taat itu diadakan untuk memupuk semangat cinta tanah air dalam kalangan masyarakat sempena memperingati Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam yang ke-79.
Pertandingan diungkayahkan oleh JHEM melalui Bahagian Hal Ehwal Belia Masjid dan ahli Jawatankuasa Takmir Masjid Universiti, UBD, dengan kerjasama pejabat hal ehwal masjid daerah-daerah.