Oleh Yusrin Junaidi –
BANDAR SERI BEGAWAN, 6 NOV – Kira-kira 500 orang murid Darjah 6 sekolah-sekolah agama Kawasan Brunei 2A bersama ibu bapa dan penjaga masing-masing hadir dalam Majlis Solat Sunat Hajat, Membaca Surah Yasin dan Doa Khas bagi memohon inayah dan keberkatan daripada Allah SWT menjelang Peperiksaan Sijil Sekolah-sekolah Rendah Ugama (SSSRU) yang bakal berlangsung pada bulan ini.
Majlis dianjurkan oleh Jawatankuasa Pemimpin Sekolah-sekolah Ugama (JKPSSU) Kawasan Brunei 2A dan berlangsung petang tadi di Jame‘ Asr Hassanil Bolkiah, Kampung Kiarong.
Majlis dimulakan dengan Solat Sunat Hajat berjemaah, diikuti bacaan Surah Yasin beramai-ramai yang dipimpin oleh Awang Mohd Suhnoromardi bin Haji Suhaimi, serta bacaan Doa Khas oleh Awang Mohd Arifin bin Haji Saili.
Penganjuran majlis tersebut bertujuan untuk memohon doa ke hadrat Allah SWT agar murid-murid dipermudahkan dalam menghadapi peperiksaan serta dikurniakan kejayaan yang cemerlang.
Sebelum ini, majlis seumpamanya turut diadakan bagi calon-calon Peperiksaan SSSRU Kawasan Brunei 1 pada 1 November lalu.
Peperiksaan bertulis SSSRU bagi murid-murid Darjah 6 sekolah agama seluruh negara dijadualkan bermula pada 10 hingga 24 November ini.







