Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 30 MEI – Bagi memohon ke hadrat Allah SWT agar bakal jemaah haji sentiasa dilindungi dan dipermudahkan segala urusan ketika berada di tanah suci, Majlis Doa Selamat dan Ramah Mesra Bersama Bakal Jemaah Haji Tahun 1444H/ 2023M telah diadakan di Dewan Canselor, Universiti Brunei Darussalam, hari ini.
Hadir selaku tetamu kehormat pada majlis yang diadakan oleh Jabatan Urusan Haji, Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) melalui Bahagian Bimbingan Haji itu ialah Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman bersama isteri.
Turut hadir ialah Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Pengiran Dato Seri Paduka Haji Mohammad Tashim bin Pengiran Haji Hassan; Duta Besar Istimewa dan Mutlak Arab Saudi ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Emad bin Abdulaziz Al-Muhanna, setiausaha tetap dan timbalan setiausaha tetap di KHEU, para pegawai kanan KHEU serta pengurus-pengurus syarikat pengendali haji dan umrah yang akan mengendalikan perkhidmatan pakej haji tahun ini.
Majlis Doa Selamat tersebut adalah untuk bakal jemaah haji yang akan menunaikan ibadat haji bagi musim haji tahun 1444H/2023M setelah selesai mengikuti kursus ibadat haji dan umrah.
Seramai 1,000 orang bakal jemaah haji akan menunaikan ibadat haji ke Tanah Suci pada musim haji tahun ini, manakala itu lima buah syarikat pengendali pakej haji dan umrah mengendalikan perkhidmatan haji.
Pemangku Pengarah Urusan Haji, Jabatan Urusan Haji, Pengiran Haji Haslin bin Pengiran Haji Ali dalam ucapannya antara lain menyeru para bakal jemaah haji untuk memanfaatkan sepenuhnya masa yang ada di tanah suci nanti dengan memperbanyakkan amal ibadat semasa di Masjid Nabawi dan Masjidil Haram, serta berusaha untuk mengamalkan dan menanamkan sifat-sifat terpuji seperti sifat sabar, tawaduk, saling memberi dan membantu orang-orang yang memerlukan bantuan.
Pada majlis itu, Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama juga menyampaikan ucapan nasihat dengan mengingatkan para bakal jemaah haji untuk sentiasa mengikuti apa sahaja arahan yang diberikan agar semua urusan bermula dari Negara Brunei Darussalam sehingga kembali semula berjalan lancar dan sempurna.