Oleh Yusrin Junaidi –
BANDAR SERI BEGAWAN, 28 SEPT – Seramai 305 pelajar yang mengikuti projek kelas tuisyen di bawah Program Intervensi Pendidikan (PIP) Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (Yayasan) di seluruh negara telah menghadiri Majlis Sembahyang Sunat Hajat yang dikendalikan oleh Yayasan khusus bagi memohon keberkatan dan kejayaan menjelang peperiksaan awam yang akan diduduki tahun ini.
Daripada jumlah berkenaan, seramai 172 pelajar akan menduduki Penilaian Sekolah Rendah (Tahun 6), 50 pelajar menduduki Peperiksaan BCGCE O Level (Tahun 11), manakala 83 pelajar akan menduduki SSSRU.
Hadir pada majlis itu ialah tetamu kehormat, Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Pengiran Dato Seri Paduka Haji Mohd Tashim bin Pengiran Haji Hassan selaku Ahli Lembaga Pengarah Yayasan.
Majlis dimulakan dengan sembahyang Sunat Hajat, diikuti bacaan Surah Yasin beramai-ramai dan Doa Peperiksaan yang diketuai oleh Yang Dimuliakan Begawan Pehin Khatib Dato Paduka Haji Mustapa bin Haji Murat.
Majlis turut diserikan dengan tazkirah bertajuk Berkat Kunci Kecemerlangan yang disampaikan oleh Penolong Ra’es III, Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan, Dr Haji Mohammad Shahrol Azmi bin Haji Abdul Muluk.







