Oleh Yusrin Junaidi –
BANDAR SERI BEGAWAN, 8 MEI – Sebagai tanda kesyukuran dan bagi memohon ke hadrat Allah SWT agar para jemaah haji sentiasa diberikan perlindungan, keselamatan dan kemudahan dalam segala urusan serta memperoleh haji yang mabrur, Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) telah mengadakan Majlis Doa Selamat bagi 86 bakal jemaah haji bertempat di Dewan Multaqa, Bangunan Tambahan KHEU pagi tadi.
Para bakal jemaah haji bagi tahun ini terdiri daripada 66 pegawai dan kakitangan KHEU serta 20 orang saudara baharu (mualaf) yang terpilih untuk menunaikan fardu haji pada musim haji tahun ini.
Hadir selaku tetamu kehormat majlis, Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman.
Majlis dimulakan dengan bacaan Sayyidul Istighfar dan Surah Al-Fatihah, disusuli dengan tazkirah yang disampaikan oleh Penolong Pensyarah di Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan, Awang Abdul Rahman bin Haji Ajak.
Acara diteruskan dengan penyampaian sumbangan derma kepada para bakal jemaah haji yang disempurnakan oleh tetamu kehormat.
Menurut kenyataan KHEU, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam telah berkenan mengurniakan tambang haji sebanyak $4,500 seorang kepada 20 saudara baharu, bersamaan kadar yang diberikan kepada pegawai kerajaan.
Sehubungan itu, Majlis Ugama Islam Brunei (MUIB) telah meluluskan pengagihan Kumpulan Wang Zakat Asnaf Mualaf berjumlah $342,000, yang merangkumi $302,000 bagi bayaran Pakej Haji Zamrud melalui Syarikat Darussalam Services Sdn Bhd dan $40,000 sebagai wang saku, iaitu $2,000 untuk setiap peserta.
Pengurniaan berkenaan mencerminkan keprihatinan dan kasih sayang Kebawah Duli Yang Maha Mulia terhadap rakyat Baginda, khususnya dalam memudahkan pelaksanaan rukun Islam kelima serta mengukuhkan keimanan dan penghayatan beragama dalam kalangan saudara baharu.
Turut hadir Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Pengiran Dato Seri Paduka Haji Mohammad Tashim bin Pengiran Haji Hassan; Setiausaha Tetap KHEU, Haji Mohammad Rosli bin Haji Ibrahim; Pemangku Timbalan Setiausaha Tetap (Pentadbiran dan Kewangan), Awang Misle bin Haji Abdul Karim; dan Pemangku Timbalan Setiausaha Tetap (Dasar dan Keugamaan), Haji Shamshol bin Haji Omar; ketua-ketua jabatan, para pegawai serta bakal jemaah haji yang diraikan.