Saturday, December 21, 2024
24 C
Brunei

    Berita Terkini

    Mohon keberkatan sebelum Peperiksaan PSR

    Oleh Normazlina M.D

     

    TUTONG, 16 Okt – Bagi memohon keberkatan ketika menduduki Peperiksaan Penilaian Sekolah Rendah (PSR) nanti, Sekolah Rendah Danau telah mengadakan Majlis Sembahyang Sunat Hajat, Membaca Yasin, Doa Selamat dan seterusnya mengadakan Majlis Restu dan Izin Ilmu bagi murid-murid Tahun 6 di dewan dan bilik Persidangan sekolah berkenaan.

    Majlis dimulakan dengan Sembahyang Sunat Hajat, Membaca Yasin dan Doa Selamat yang dipimpin oleh Bilal Masjid Kampung Danau, Awang Jamalulhair bin Mohin.

    Acara kemudian diteruskan dengan ucapan ringkas daripada Guru Besar sekolah berkenaan, Dayang Zirwatul Yusrani binti Haji Awang Besar yang antara lain menyatakan agar ibu bapa dan penjaga pelajar akan dapat melaksanakan peranan masing-masing dengan penuh komited.

    Beliau menambah, melalui usaha tersebut beliau percaya, kejayaan dan kecemerlangan pelajar pasti dapat direalisasikan dengan usaha sama yang giat dan padu melalui keprihatinan dari semua pihak terlibat.

    Dayang Zirwatul Yusrani juga berharap agar pelajar-pelajar Tahun 6 akan mendapat keberkatan, lebih bersemangat dan mempunyai kekuatan dalam diri semasa menghadapi Peperiksaan PSR itu nanti.

    Majlis Restu dan Izin Ilmu turut diisi dengan sesi bersalam-salaman antara pelajar-pelajar Tahun 6, Guru Besar dan guru-guru.

    Seramai 14 orang pelajar Tahun 6 akan menduduki Peperiksaan PSR di sekolah berkenaan yang akan diadakan pada 21 Oktober sehingga 30 Oktober.

    Majlis seterusnya diikuti dengan ucapan restu dan Izin Ilmu yang disampaikan oleh wakil guru-guru Tahun 6, Dayang Izyan Izawani binti Ismail dan menyaksikan video klip yang memaparkan inisiatif Sekolah Rendah Danau bagi mencapai sasaran 90 peratus Gred ‘A’ hingga Gred ‘C’ PSR 2017.

    Majlis kemudiannya mengadakan acara bersalam-salaman antara pelajar-pelajar Tahun 6, guru besar dan guru-guru, diikuti dengan menyediakan kelengkapan untuk persiapan PSR 2017 dan aktiviti coretan harapan dan aspirasi untuk ‘Anakku Sayang’.

    Adapun majlis ini diadakan adalah untuk menyemai rasa tanggungjawab sebagai seorang pelajar dengan nilai budi dan sikap sentiasa menghormati, menghargai, bersyukur dan berterima kasih kepada guru-guru yang telah mendidik mereka di samping dapat meningkatkan semangat, motivasi dan keyakinan pelajar Tahun 6 dalam menghadapi Peperiksaan PSR 2017 itu nanti.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda