Thursday, February 6, 2025
25.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Mohon keberkatan sempena Hari Peladang

    Oleh Salawati Haji Yahya

     

    BANDAR SERI BEGAWAN, 31 Okt – Negara Brunei Darussalam meraikan Sambutan Hari Peladang, Petani, Penternak dan Nelayan pada setiap 1 November bagi mengiktiraf dan mengenang jasa-jasa mereka dalam memainkan peranan selaku penjana makanan bagi penduduk di negara ini.

    Sehubungan itu, Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan hari ini mengadakan Majlis Sembahyang Fardu Maghrib Berjemaah, Sembahyang Sunat Hajat, Membaca Surah Yasin dan Tahlil serta membaca Doa Kesyukuran di Jame’ ‘Asr Hassanil Bolkiah, Kampung Kiarong.

    Antara yang menyertai majlis berkenaan petang tadi ialah Menteri Sumber-sumber Utama dan Pelancongan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ali bin Haji Apong selaku tetamu kehormat majlis.

    Majlis dimulakan dengan sembahyang Fardu Maghrib berjemaah diimamkan oleh Yang Dimuliakan Begawan Pehin Khatib Dato Paduka Haji Awang Suhaili bin Haji Metali Al-Hafiz disusuli dengan bacaan Surah Yasin dan bertahlil serta Doa Kesyukuran.

    Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ali bersama jemaah yang lain semasa menunaikan sembahyang Fardu Maghrib dan Sunat Hajat berjemaah kelmarin.

    Hadir pada majlis berkenaan ialah setiausaha tetap dan timbalan setiausaha tetap di kementerian berkenaan, ketua-ketua jabatan, pegawai-pegawai dan kakitangan dari jabatan di bawah kementerian berkenaan. Turut hadir ialah para peladang, petani, penternak dan nelayan agrimakanan di seluruh negara.

    Hari Peladang, Pertani, Penternak dan Nelayan telah diisytiharkan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam semasa Baginda merasmikan Ekspo Pertanian dan Agrimakanan 2009 di Taman Argoteknologi Brunei, Kampung Tungku.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda