Oleh Sim Y. H. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 30 APRIL – Bagi sama-sama meraikan rombongan bi’thah perubatan haji dan warga Kementerian Kesihatan yang bakal menunaikan fardu haji pada 2025, Kementerian Kesihatan mengadakan Majlis Doa Selamat bagi Rombongan Bi’thah Perubatan Haji dan Bakal Jemaah Haji Kementerian Kesihatan bagi Tahun 1446H / 2025M yang berlangsung di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan, hari ini.
Hadir selaku wakil Menteri Kesihatan ialah Pemangku Setiausaha Tetap, Kementerian Kesihatan, Dr Hajah Rafidah binti Haji Gharif.
Turut hadir, Pemangku Timbalan Setiausaha Tetap (Dasar dan Pengurusan), Pengiran Mohammad Khiruddin bin Pengiran Haji Yusoff; Pengarah Urusan Darussalam Holdings Sdn Bhd, Haji Mahmud bin Haji Mohamed; Pemangku Pengarah Urusan Insurans Islam TAIB Holdings Sdn Bhd, Dayang Zamzaipa binti Haji Ismail; ketua-ketua jabatan, pegawai-pegawai kanan serta pegawai dan kakitangan Kementerian Kesihatan.
Dalam ucapan alu-aluannya, Ketua Rombongan Bi’thah Perubatan Haji bagi Musim Haji 1446H/ 2025M, Dr Haji Aziman bin Pehin Orang Kaya Maharaja Kerna Dato Paduka Seri Haji Yaakub menyatakan seramai 20 orang pegawai perubatan terdiri daripada enam orang doktor dan 14 orang jururawat dan paramedik ditugaskan untuk memeduli jemaah haji Negara Brunei Darussalam di tanah suci nanti.
Sementara itu, lapan orang pegawai perubatan haji akan diterbangkan sebagai pasukan pendahuluan untuk membuat persediaan awal sebelum kedatangan jemaah haji Negara Brunei Darussalam.
“Mereka akan membuat perundingan dengan pihak yang berwajib di Arab Saudi untuk mendapatkan lesen membuka klinik di Mekah dan di Madinah dan seterusnya menyediakan klinik dan perkhidmatan-perkhidmatan untuk para jemaah haji Negara Brunei Darussalam.”
Dr Haji Aziman turut menyatakan pasukannya akan cuba memberikan perkhidmatan yang terbaik pada tahun ini.
“Sikap bekerjasama, bantu-membantu dan inda camah mata akan diterapkan dalam setiap pegawai perubatan haji agar dapat memberi perkhidmatan yang memuaskan kepada jemaah-jemaah haji Negara Brunei Darussalam.”
Majlis diteruskan dengan penyampaian sumbangan derma kepada 28 bakal jemaah haji yang terdiri daripada lapan orang lelaki dan 20 orang perempuan daripada pegawai dan kakitangan Kementerian Kesihatan yang disempurnakan oleh Dr Hajah Rafidah.
Selepas itu, penyerahan Sijil Perlindungan Skim Takaful Duyufur Rahman daripada Insurans Islam TAIB General Takaful Sdn Bhd dan cenderamata bagasi khas daripada Darussalam Holdings Sdn Bhd bagi rombongan pegawai perubatan haji Kementerian Kesihatan.
Majlis itu bermatlamat untuk memohon keberkatan dan perlindungan Allah SWT supaya seluruh ahli rombongan bi’thah perubatan haji dan bakal jemaah haji diberi keselamatan, kesihatan serta kekuatan sepanjang menjalankan ibadah haji, meraikan dan memberi tanda penghargaan atas amanah yang akan dipikul oleh bi’thah perubatan serta mengiktiraf bakal jemaah atas rezeki menjadi tetamu Allah SWT.
Ia juga untuk memohon supaya segala tugasan kesihatan dan perkhidmatan yang akan dilaksanakan, dipermudahkan, berjalan dengan lancar serta penuh hikmah.