Friday, December 27, 2024
23.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Mohon perlindungan buat Kontinjen ABDB misi ke Lubnan

    Oleh Sim Y. H. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 31 OKT – Kontinjen Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) akan menyertai Batalion Malaysia (MALBATT) 850-12 sebagai sebahagian daripada misi pengaman Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu di Lubnan (UNIFIL).

    Sehubungan itu, Majlis Doa Selamat untuk pemergian kontinjen ABDB yang akan menyertai MALBATT 850-12 telah diadakan di Surau Ad-Difa’, Bolkiah Garison, hari ini.

    Hadir pada majlis berkenaan ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan Kedua, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Halbi bin Haji Mohd Yussof; Pemerintah ABDB, Mejar Jeneral Dato Paduka Seri Haji Muhammad Haszaimi bin Bol Hassan dan Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Datuk Mohd Aini bin Atan.

    Kontinjen ABDB yang diketuai oleh Mejar Pengiran Muhammad Syahir Fadillah bin Pengiran Salleh itu terdiri daripada 30 orang anggota , iaitu tiga orang pegawai, 27 orang lain-lain peringkat, termasuk dua orang askar wanita yang akan melaksanakan misi selama 12 bulan.

    Mereka dijadualkan berlepas ke Malaysia pada 1 November, sebelum meneruskan perjalanan mereka bersama MALBATT ke Lubnan.

    Majlis itu bertujuan memohon ke hadrat Allah SWT bagi perlindungan dan kesejahteraan kontinjen ABDB MALBATT 850-12 serta kejayaan misi mereka.

    Majlis turut diselitkan dengan penyampaian tazkirah bertajuk Akhlak dalam Berjihad yang menekankan disiplin dan etika dalam melaksanakan tugas dan kewajipan di jalan Allah SWT serta menegakkan nilai-nilai teras ABDB dalam berkhidmat demi bangsa, negara dan agama.

    Kerajaan Negara Brunei Darussalam telah terlibat dalam misi UNIFIL di bawah payung MALBATT sejak 2008 dan telah menunjukkan tahap komitmen yang tinggi dalam menyumbang kepada usaha antarabangsa untuk mengekalkan keamanan dan kestabilan sejagat.

    Melalui penglibatan dalam misi berkenaan, Negara Brunei Darussalam juga telah memperkukuhkan hubungan diplomatik dan kerjasama ketenteraan dengan negara-negara lain serta membuktikan keupayaan ABDB dalam melaksanakan tugas-tugas di peringkat antarabangsa.

    Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Halbi hadir pada Majlis Doa Selamat di Surau Ad-Difa’, Bolkiah Garison, kelmarin. – GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda