Oleh Nurdiyanah R. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 12 JUN – Majlis Kebangsaan Keselamatan Jalan Raya (MKKJR) telah mengadakan Majlis Membaca Ratib Al-Attas, Solat Sunat Hajat dan Solat Fardu Asar berjemaah di Masjid Pengiran Anak Haji Mohamed Alam (PAHMA), Kampung Sengkarai, petang tadi.
Hadir pada majlis tersebut ialah Timbalan Setiausaha Tetap (Pengangkutan) di Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi (MTIC), Haji Mohammad Salihin bin Haji Aspar selaku Setiausaha MKKJR; Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN), Yang Berhormat Awang Abdul Aziz bin Haji Hamdan selaku Ketua Kampung Sengkarai dan Yang Berhormat Haji Mohamad Danial @ Tekpin bin Ya’akub selaku Penghulu Mukim Ukong; dan Penghulu Mukim Keriam, Haji Joharry bin Haji Abdul Karim.
Turut hadir ialah ahli-ahli MKKJR, ketua-ketua jabatan, ketua-ketua bahagian, pegawai-pegawai kanan, dan pegawai-pegawai serta kakitangan MTIC dan jabatan-jabatan serta agensi-agensi pihak berkuasa di bawahnya dan juga penduduk-penduduk Kampung Sengkarai, Dearah Tutong.
Majlis dimulakan dengan bacaan Ratib Al-Attas dan Solat Sunat Hajat, sebelum diteruskan dengan Solat Fardu Asar berjemaah yang dipimpin oleh Imam Masjid PAHMA, Awang Abdul Raqib bin Haji Awang.
Majlis itu merupakan antara inisiatif berterusan MKKJR dalam memohon keberkatan dan perlindungan daripada Allah SWT agar para pengguna jalan raya sentiasa dilindungi daripada sebarang musibah dan kemalangan.
Di samping itu, majlis ini juga bertujuan untuk menyemai kesedaran rohani dan tanggungjawab bersama dalam menjaga keselamatan di jalan raya, selaras dengan nilai-nilai murni masyarakat Islam.
Dengan usaha seperti ini diharap akan terus menyuburkan kesedaran kolektif ke arah budaya pemanduan yang lebih selamat dan bertanggungjawab, demi kesejahteraan seluruh rakyat dan negara.




