Jumaat, 21 November 2025
24.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Mohon perlindungan kontinjen pengaman ke Lubnan

    Oleh Yusrin Junaidi –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 28 OKT – Seramai 21 anggota Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) yang bakal menyertai Malaysian Battalion 850-13 (MALBATT 850-13) sebagai sebahagian daripada Misi Pasukan Pengaman Interim Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu di Lubnan (UNIFIL) menghadiri Majlis Doa Selamat yang diadakan di Surau Ad-Difa’, Bolkiah Garison.

    Hadir selaku tetamu kehormat di majlis tersebut ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan Kedua, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Halbi bin Haji Mohd Yussof.

    Turut hadir, Pemerintah ABDB, Mejar Jeneral Dato Paduka Seri Haji Muhammad Haszaimi bin Bol Hassan; Timbalan Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Negara Brunei Darussalam, Abdul Munir Lutfi Said; Ahli-ahli Jawatankuasa Eksekutif Pertahanan dan ABDB; Timbalan Pengarah Pertubuhan Antarabangsa, Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri; Penolong Penasihat Pertahanan Malaysia ke Negara Brunei Darussalam; pegawai-pegawai kanan Kementerian Pertahanan; serta ahli keluarga anggota kontinjen yang akan menyertai misi pengaman tersebut.

    Kontinjen ABDB yang diketuai oleh Mejar Mohammad Ihya’uddin bin Haji Ishak terdiri daripada tiga orang pegawai dan 18 orang lain-lain peringkat, termasuk dua anggota tentera wanita. Mereka dijadualkan berlepas ke Malaysia pada 30 Oktober, sebelum meneruskan perjalanan bersama Kontinjen MALBATT 850-13 ke Lubnan untuk tempoh penugasan selama 12 bulan.

    Majlis diadakan bagi memohon keberkatan, keselamatan dan perlindungan daripada Allah SWT ke atas kontinjen berkenaan, di samping mendoakan agar pelaksanaan misi mereka berjalan dengan lancar, selamat dan mencapai kejayaan.

    Majlis turut diserikan dengan penyampaian tazkirah bertajuk Fathul Mubin: Kemenangan yang Menguji Iman, yang menekankan kepentingan berserah diri kepada Allah SWT dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab.

    Tazkirah berkenaan turut mengingatkan bahawa doa dan sokongan keluarga, saudara-mara serta negara menjadi sumber kekuatan dan keberkatan dalam pelaksanaan tugas mereka di bumi Lubnan.

    Penyertaan Negara Brunei Darussalam dalam misi UNIFIL sejak tahun 2008 di bawah payung MALBATT mencerminkan komitmen teguh dan berterusan negara dalam menyokong usaha antarabangsa mengekalkan keamanan dan kestabilan sejagat. Melalui penglibatan yang konsisten ini, Brunei Darussalam bukan sahaja memperkukuh hubungan diplomatik dan kerjasama ketenteraan dengan pelbagai negara, malah turut membuktikan keupayaan serta profesionalisme ABDB dalam melaksanakan tanggungjawab penting di peringkat antarabangsa.

    Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Halbi bersalaman dengan anggota kontinjen yang akan menyertai misi pengaman tersebut. – GAMBAR OLEH RAFI ROSLI
    GAMBAR OLEH RAFI ROSLI
    Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Halbi semasa menghadiri majlis tersebut. – GAMBAR OLEH RAFI ROSLI

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda