Oleh Yusrin Junaidi –
BANDAR SERI BEGAWAN, 12 MEI – Seramai sembilan orang anggota Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) yang akan menunaikan fardu haji pada musim haji tahun ini telah diraikan dalam Majlis Doa Selamat yang diadakan di Surau Ibu Pejabat Polis Gadong, pagi tadi.
Hadir selaku tetamu kehormat ialah Pemangku Pesuruhjaya Polis, DCP Dato Seri Pahlawan Sulaiman bin Alidin bersama isteri, Datin Sabrina binti Abdullah Chong, selaku Pemangku Yang Dipertua Pekerti PPDB.
Daripada sembilan orang yang terpilih, lima merupakan pegawai kanan polis dan empat lagi adalah anggota berpangkat rendah iaitu ACP Masni binti Haji Jamil, ASP Maressa binti Morsidi, ASP Muhammad Ziyad bin Abdul Rahman, P/ASP Rabiatul Adawiyah @ Lina binti Kepli, INSP Awang Farez Akmal bin Awang Aliakbar, SGT 4489 Pengiran Norazaman bin Pengiran Haji Damit bersama isteri, PC 6384 Awangku Muhammad Hassanol Hakeem bin Pengiran Haji Ahmad, W/CPL 4884 Dayangku Rozita binti Pengiran Mohammad dan APO L/CPL 5937 Ali bin Hamdan bersama isteri.
Turut hadir ialah Pemangku Timbalan Pesuruhjaya Polis, SAC Pengiran Anak Haji Mohd Saifullah bin Pengiran Indera Setia Diraja Sahibul Karib Pengiran Anak Haji Idris, serta para pengarah dan timbalan pengarah, pegawai pemerintah, pegawai kanan, anggota pangkat rendah dan kakitangan PPDB.
Majlis yang dikendalikan oleh Badan Ugama Islam PPDB itu dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah yang dipimpin oleh Imam Surau Ibu Pejabat Polis Gadong, APO Staff Sgt 6472 Muhd Yusri bin Haji Abu Bakar, diikuti dengan bacaan Doa Selamat dan Doa Tolak Bala, dan diakhiri dengan penyampaian sumbangan kepada bakal-bakal jemaah haji.
Majlis berkenaan bertujuan untuk memohon keberkatan dan perlindungan Allah SWT agar para jemaah diberikan keselamatan, dipermudahkan segala urusan serta dikurniakan haji yang mabrur.