Oleh Fadhil Yunus
BANDAR SERI BEGAWAN, 27 NOV – Moksin Junaidi dan Bryan Chiew mengatur langkah pada hari pertama Kejohanan Golf Amal Pusat Ehsan ke-20 ketika kedua-dua mereka mengikat kedudukan di Kelab Golf Pantai Mentiri hari ini.
Moksin dan Bryan kini berada di kedudukan teratas mendahului dalam kategori gross lelaki, dengan bersaing untuk merebut gelaran Patron’s Challenge Trophy dan gelaran Pusat Ehsan.
Dua belas pemain teratas dengan skor terendah dalam aksi yang berlangsung dua hari akan mara ke pusingan akhir untuk merebut kejuaraan.
Pemain golf Junior, Elisabeth Boersheim dari Kelab Golf Panaga adalah peserta termuda dalam edisi kali ini pada usia 14 tahun. Suhaimi bin Haji Ibrahim adalah juara bertahan setelah memenangi gelaran pada November lalu, mengulangi kejayaannya pada tahun 2016.
Puluhan peserta termasuk pemain golf berpengalaman telah ikut serta dalam dua sesi pembukaan kejohanan, yang ditunda sejak Mac lalu kerana wabak COVID-19.
Sukan golf antara salah satu sukan individu yang dibenarkan semula untuk mengadakan pertandingan berikutan pengumuman semasa sidang media pada 24 September lalu.
Kejohanan yang berlangsung selama tiga hari akan diteruskan lagi esok dengan dua sesi serupa hari pertama di mana 12 pemain terakhir akan diumumkan.
Selain kategori gross, beberapa kategori lain juga akan turut diadakan iaitu Division A, Division B, Division C, Senior Golfers (berumur 55 tahun ke atas), wanita, VIP dan penaja.
Secara tradisinya, kejohanan ini merupakan salah satu kejohanan golf domestik terbesar diadakan dua kali setahun sama ada pada bulan Mac atau April dan November.
