Sunday, July 13, 2025
32.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Molave cetus banjir, ribuan dipindahkan di Filipina

    MANILA, FILIPINA, 26 OKT – Taufan yang bergerak pantas memaksa ribuan penduduk kampung untuk melarikan diri ke tempat yang lebih selamat di wilayah selatan ibu negara Filipina hari ini, mencetuskan banjir di kampung-kampung di luar bandar dan menerbangkan bumbung rumah mereka, kata para pegawai.

    Tidak ada laporan segera mengenai korban dari Taufan Molave, tetapi pihak berkuasa melaporkan setakat ini 12 nelayan hilang dan tujuh yang lain diselamatkan selepas kapal layar mereka tenggelam di wilayah Batangas di selatan Manila.

    Taufan dengan angin selaju 125 kilometer sejam dan kekuatan angin mencapai sehingga 180kmsj dan bertiup ke arah barat dengan kelajuan 25kmsj. Molave dijangka mula bergerak keluar dan menuju ke Laut China Selatan lewat hari ini, kata peramal kaji cuaca.

    Sekurang-kurangnya 25,000 penduduk kampung telah dipindahkan dengan kira-kira 20,000 orang berlindung di sekolah dan bangunan kerajaan yang dijadikan pusat pemindahan, menurut pegawai.

    “Penduduk kampung kini meminta untuk diselamatkan selepas angin kencang tiba-tiba telah menerbangkan bumbung rumah mereka,” kata Humerlito Dolor, gabenor wilayah Oriental Mindoro, kepada radio DZMM.

    Dolor berkata, hujan lebat semalam menenggelamkan perkampungan pertanian di wilayahnya, dengan angin kencang telah menumbangkan pokok dan tiang elektrik awal hari ini sekali gus memutuskan bekalan tenaga elektrik.

    Pihak berkuasa kini berusaha membersihkan jalan akibat pokok tumbang dan kesan daripada taufan di beberapa bandar selepas taufan itu bergerak menuju ke Laut China Selatan, katanya. Lebih daripada 1,800 pemandu trak kargo, pekerja dan penumpang terkandas di pelabuhan selepas pengawal pantai melarang kapal dan feri untuk memulakan perjalanan.

    Kira-kira 20 taufan dan ribut setiap tahun melanda Filipina dan kepulauan Asia Tenggara secara aktif, dengan gempa bumi dan letusan gunung berapi, menjadikannya salah satu negara paling terdedah kepada bencana alam di dunia. – AFP

    Keadaan sebuah rumah yang musnah selepas Molave melanda bandar Pola, kelmarin. – AFP
    Penduduk kampung yang dilanda banjir duduk di bawah sebuah pondok selepas Taufan Molave melanda bandar Pola, wilayah Oriental Mindoro, kelmarin. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda