Wednesday, July 17, 2024
25.5 C
Brunei

    -

    MOM jawab isu pakaian rasmi kontinjen Malaysia

    KUALA LUMPUR, 24 JUN – Pakaian rasmi kontinjen Malaysia ke pelbagai temasya sukan dibangunkan dengan mengambil kira konsep rekaan terkini walaupun berdepan kekangan tertentu, menurut Setiausaha Agung Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Mohd Nazifuddin Najib.

    Beliau berkata pemilihan pakaian rasmi itu dibuat selepas MOM dan pihak penaja berbincang dan mempertimbangkan beberapa faktor antaranya kos yang perlu dikeluarkan.

    “Sebenarnya kita tertakluk kepada apa yang penaja boleh berikan dalam keadaan pengehadan tertentu dan ia (juga) bergantung dengan bajet. Kalau nak terbaik atau premium, itu menjadi faktor kos kepada penaja jadi ia perlu dipertimbangkan.

    “Ini bukan peruntukan daripada kerajaan atau wang daripada siapa-siapa, tetapi ihsan daripada penaja,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.

    Kelmarin, pakaian rasmi kontinjen Malaysia ke pelbagai temasya sukan berupa baju berkolar, baju T dan jaket diperkenalkan sempena sambutan Hari Olimpik di sebuah pusat beli-belah di Kuala Lumpur.

    Mohd Nazifuddin berkata pakaian rasmi berkenaan mengambil kira konsep rekaan terkini. – Bernama

    Bagaimanapun, rata-rata peminat sukan negara itu di media sosial meluahkan rasa ketidakpuasan hati terhadap rekaan tersebut yang didakwa sedikit terbelakang dan tidak membangkitkan semangat berbanding pakaian rasmi digunakan kontinjen Malaysia sebelum ini.

    Mengulas lanjut, Mohd Nazifuddin berkata rekaan terbaharu itu akan digunakan buat kali pertama semasa temasya Sukan Olimpik Paris 2024 dan pihaknya akan mendapatkan maklum balas pemegang taruh, atlet dan pegawai sukan berhubung reaksi yang diterima mengenai pakaian berkenaan.

    “Untuk sementara ini, pakaian rasmi itu akan digunakan kontinjen ke Paris tetapi pakaian untuk upacara pembukaan berbeza, pakaian rasmi ini cuma untuk digunakan sewaktu temasya dalam perjalanan ke venue pertandingan,” katanya.

    Terdahulu hari ini, Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh menerusi ciapan di X menjelaskan pakaian rasmi terbaharu kontinjen Malaysia yang dilancarkan semalam adalah di luar bidang kuasa Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan Majlis Sukan Negara (MSN).

    “Pakaian rasmi kontinjen Malaysia ke temasya pelbagai sukan adalah di bawah tanggungjawab MOM. Ini merupakan hasil kerjasama antara Yonex dan MOM dan ia di luar bidang kuasa KBS dan MSN,” katanya.

    Sukan Olimpik Paris dijadual berlangsung dari 26 Julai hingga 11 Ogos depan. – Bernama

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Nepal, India kerjasama cari mayat hilang tragedi bas hanyut

    KATHMANDU, 17 JULAI – Pihak berkuasa tempatan sedang berkerjasama dengan pegawai sempadan daerah India untuk mencari mayat dalam kemalangan Simaltal, di mana tanah runtuh...