Saturday, March 15, 2025
31.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    MOM senaraikan bola sepak lelaki kategori A

    KUALA LUMPUR, 31 JULAI – Majlis Olimpik Malaysia (MOM) hari ini menyenaraikan skuad bola sepak lelaki Bawah 23 (B-23) negara ke Sukan Sea 2019, di Filipina dalam kategori A, kata Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Subahan Kamal.

    Menurutnya, keputusan itu diputuskan pada mesyuarat Jawatankuasa Pemilihan MOM bersama wakil FAM yang diadakan di Wisma MOM, di sini hari ini, selepas menyasarkan skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee, akan layak ke final bola sepak temasya sukan tersebut.

    “Keputusan ini menunjukkan mereka (MOM) meletakkan harapan yang besar kepada skuad lelaki kita, dan Insya-Allah, kita akan terjemahkan pada Sukan SEA kali ini.

    “Saya selaku pengurus pasukan hendak pastikan, pasukan kita sekurang-kurangnya layak ke final (Sukan SEA 2019),” katanya ketika ditemui pemberita selepas mesyuarat jawatankusa berkenaan.

    Penyertaan dalam kategori A menyaksikan atlet atau pasukan akan mendapat tajaan penuh, manakala bagi atlet kategori B, perbelanjaan ditanggung persatuan masing-masing. Bagaimanapun, perbelanjaan itu akan dibayar semula, sekiranya atlet berkenaan berjaya meraih sekurang-kurangnya pingat gangsa.

    Untuk rekod, kali terakhir skuad bola sepak negara B-23 negara diletakkan dalam kategori A adalah pada Sukan SEA 2011 di Indonesia, yang menyaksikan Malaysia meraih pingat emas.

    Mengulas lanjut, Subahan berkata, keputusan yang dicapai ahli jawatankuasa pemilihan pada mesyuarat berkenaan, berkemungkinan didorong pencapaian positif skuad bola sepak lelaki negara, dalam beberapa edisi Sukan SEA yang terdahulu.

    Katanya, penyenaraian tersebut juga akan dapat membantu meringankan beban kewangan FAM ke Sukan Sea.

    Dalam pada itu, beliau memaklumkan nasib skuad bola sepak wanita sama ada diletakkan dalam kategori A atau B, bergantung kepada keputusan diraih pada Kejuaraan Bola Sepak Wanita Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) 2019 di Chonburi, Thailand dari 15-27 Ogos ini. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda