KUALA LUMPUR, 16 JULAI – Pejabat Penyelidikan Makroekonomi ASEAN+3 (AMRO) mengekalkan unjuran pertumbuhan bagi rantau ASEAN+3 pada 2024 dan 2025, masing-masing pada 4.4 peratus dan 4.3 peratus.
Ketua Ekonomi, Hoe Ee Khor berkata prospek eksport yang menggalakkan membantu meningkatkan momentum pertumbuhan di rantau itu tahun ini serta tahun-tahun seterusnya, di samping permintaan domestik yang kukuh dan pemulihan berterusan dalam sektor pelancongan.
“Tahun ini, rantau ASEAN+3 dijangka berkembang pada kadar yang stabil 4.4 peratus.
“Permintaan dalam negeri akan disokong oleh keadaan pekerjaan yang kukuh dan harga yang stabil, manakala pertumbuhan eksport dijangka kembali positif berikutan permintaan global yang meningkat,” katanya pada taklimat media secara maya berhubung kemas kini suku tahunan terbaru AMRO mengenai Tinjauan Ekonomi Serantau ASEAN+3 (AREO) hari ini.
Menurut Hoe, pertumbuhan di ASEAN diunjur meningkat kepada 4.8 peratus tahun ini berbanding 4.2 peratus pada 2023, manakala pertumbuhan keseluruhan bagi ekonomi +3 (China, Jepun, Korea Selatan) diunjurkan kekal stabil pada 4.4 peratus.
Bagaimanapun, beliau berkata AMRO menjangkakan pertumbuhan ASEAN+3 berkurangan sedikit kepada 4.3 peratus pada 2025.
“Imbangan keseluruhan risiko terhadap prospek rantau ini telah bertambah baik sejak April. – Bernama