Saturday, April 20, 2024
26.6 C
Brunei

    -

    Momota terkandas di Masters Indonesia

    JAKARTA, 25 JAN – Kento Momota tersingkir pada pusingan pertama badminton Masters Indonesia hari ini, yang merupakan penyingkiran awal terbaharu untuk juara dunia dua kali itu.

    Momota bukan pilihan, yang kariernya menurun sejak kemalangan yang menyebabkannya cedera teruk tiga tahun lalu, tewas 21-18, 21-7 kepada pemain ranking ke-27 China, Shi Yuqi di Jakarta.

    Dia pernah menjadi jaguh badminton yang tidak dipertikaikan, namun kini berada di kedudukan ke-19 dunia dan kelihatan menjadi bayangan pemain yang memenangi kejohanan dunia pada 2018 dan 2019.

    Berikutan tahun 2022 yang teruk, musim baharu pemain berusia 28 tahun itu bermula dengan dia menarik diri daripada Terbuka Malaysia dan kemudian tersingkir daripada Terbuka India pada pusingan pertama.

    “Pada mulanya, saya bermain dengan baik. Namun, pada pertengahan perlawanan, lawan saya meningkatkan serangannya dan saya tertekan dengan permainannya hari ini,” kata Momota selepas tewas kepada Shi, pertemuan yang dikatakan perlawanan ulangan peringkat akhir di kejohanan dunia 2018.

    “Saya gagal bermain seperti yang saya jangkakan,” tambahnya.

    Momota berazam untuk kembali ke kedudukan sebelumnya, namun prestasinya terus mengecewakan.

    “Saya kini cuba pulih dan mengekalkan keadaan mental, jadi saya tidak akan mudah tertekan,” kata Momota.

    Momota terlibat dalam kemalangan kereta yang menyebabkan pemandunya maut dalam perjalanan ke lapangan terbang selepas memenangi Malaysia Masters pada Januari 2020. – AFP

    Reaksi Kento Momota pada kejohanan badminton Masters Indonesia di Stadium Istora Jakarta, Indonesia. – AP
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    5 pekerja jadi sasaran serangan nekad

    KARACHI, 19 APRIL - Seorang pengebom nekad meletupkan jaketnya yang sarat dengan bahan letupan berhampiran sebuah van yang membawa pekerja kereta warga Jepun, yang...