MONACO, 27 Julai – Monaco berkata bahawa tidak ada persetujuan dengan Real Madrid telah dicapai bagi penyerang muda sensasi dari Perancis, Kylian Mbappe.
Timbalan presiden Monaco, Vadim Vasilyev juga menyatakannya di sidang media bahawa kelab itu sedang dalam perbincangan dengan Mbappe mengenai kontrak lanjutan yang baru.
Pemain berusia 18 tahun itu telah menjadi tumpuan dalam spekulasi perpindahan yang mengaitkannya dengan perpindahan rekod dunia 180 juta euro, dengan media sukan Sepanyol, Marca, sebelum ini melaporkan bahawa perjanjian sudah tercapai antara Real dan juara Ligue 1 Perancis itu.
“Saya sudah membaca banyak perkara di akhbar,” kata Vasilyev.
“Setakat ini kami belum menandatangani sebarang perjanjian dengan Real atau mana-mana kelab lain. Kesemua kelab-kelab besar mahukannya, dia adalah harapan besar bola sepak Eropah.
“Kami pada masa ini dalam perbincangan mengenai satu kontrak lanjutan dengan Kylian dan kami harap dapat mencapai persetujuan.”

Mbappe muncul menjadi tumpuan musim lepas ketika dia membantu skuad Leonardo Jardim meraih gelaran liga Perancis pertama sejak 2000 dan mara ke separuh akhir Liga Juara-Juara.
Penyerang pantas itu telah menjaringkan 15 gol Ligue 1 dan enam dalam persaingan Eropah, kesemuanya dihasilkan dalam peringkat kalah mati Liga Juara-Juara.
Setelah dikaitkan dengan kemungkinan perpindahan ke beberapa kelab terkemuka, Real kelihatannya semakin hampir mendapatkan sasaran mereka itu.
Tetapi Vasilyev menegaskan bahawa Mbappe perlu diberikan masa bagi membuat keputusan sebesar itu di usianya yang masih muda.
“Terlalu banyak tekanan media ke atasnya,” tambahnya. – AFP
“Ia bukan mudah untuknya, tetapi dia menanganinya dengan baik. Kami mahu menggunakan masa ini untuk berbincang dengan pemain dan keluarganya.” – AFP