PARIS, 12 Okt – Juara Perancis AS Monaco akan berdepan kesulitan untuk berdepan Lyon apabila turun tanpa kelibat penyerang berbisa, Radamel Falcao (gambar) dalam usaha mereka mahu terus memberi tekanan ke atas pendahulu Ligue 1, Paris Saint-Germain (PSG).
Anak buah Leonardo Jardim itu tercicir dua mata apabila terikat 1-1 ketika menentang Montpellier sebelum rehat antarabangsa dan ketinggalan tiga mata di belakang PSG.
Falcao memperagakan aksi cemerlang musim ini selepas meledak 12 gol dalam lapan aksi liga setakat ini, namun selepas membantu Colombia mara ke Piala Dunia 2018, dia terpaksa diketepikan untuk perlawanan esok.
“Dia beraksi malam semalam dan menempuh perjalanan jauh untuk kembali ke Monaco,” kata Jardim.
“Untuk menurunkannya pada aksi bertemu Lyon, situasi ini akan membunuhnya. Dia tidak akan beraksi kerana keadaan fizikalnya tidak membenarkan dia beraksi dua perlawanan dalam tempoh 48 jam.”
Falcao yang akan beraksi buat kali pertama di Piala Dunia tahun hadapan melakukan hantaran gol buat James Rodriguez untuk mereka terikat 1-1 menentang Peru dalam kempen kelayakan.
Sementara itu, Lyon bergelut meskipun memulakan musim dengan prestasi agak baik selepas gagal meraih kemenangan dalam tiga aksi terakhir apabila terikat 3-3 dalam dua perlawanan berturut-turut bertemu Angers dan Dijon.
Anak buah Bruno Genesio itu tidak dapat menggunakan khidmat pertahanan tengah, Marcelo yang dilayangkan kad merah apabila menolak kad kuning daripada tangan pengadil tanpa sengaja ketika aksi bertemu Angers. – AFP