MANCHESTER, 21 Feb – Leonardo Jardim (gambar atas) berkata beliau tidak akan mengubah strategi apabila pasukannya menghadapi Manchester City untuk pertembungan pertama pusingan 16 terakhir Liga Juara-Juara di Stadium Etihad, esok.
Jurulatih kelahiran Venezuela berusia 42 tahun itu yang telah membimbing Monaco ke puncak Ligue 1 walaupun mempunyai bajet yang ketara lebih rendah berbanding juara Paris Saint-Germain berkata, bola sepak menyerang adalah DNA pasukan dan pemain juga sudah maklum.
“Ini mesej yang saya sampaikan kepada pemain: sama ada menentang (bukan liga) Chambly, PSG atau Tottenham (kumpulan Liga Juara-Juara), gayanya sentiasa sama,” katanya pada sidang media kelmarin.
“Kami mempunyai DNA, kita mengusahakanya. Musuh tidak dapat mempengaruhi kami mengubah pasukan. Ia adalah perlawanan Eropah kami ke-11 musim ini dan pasukan telah bermain dengan cara yang sama dalam semua aksi sebelum ini. Keputusannya mungkin tidak sama tetapi itulah kehidupan.”
Jardim mula membimbing Monaco dua tahun lalu termasuk bintang semasa Man United Anthony Martial ke suku akhir Liga Juara-Juara berkata, beliau berbesar hati dengan pujian rakan sejawatannya Pep Guardiola dari City. Tetapi beliau berkata terdapat perbezaan utama antara kelab masing-masing.
“Saya seorang realis,” kata Jardim. “Beliau membandingkan kedua-dua pasukan. Kedua-dua pasukan suka menguasai bola dan mempunyai ramai pemain teknikal yang sangat berbakat.
“Bagaimanapun, ada masanya pasukan tidak boleh dibandingkan. Kita tidak boleh membandingkan nilai kedua-dua pasukan berdasarkan pasaran perpindahan. Kami mempunyai pemain yang hebat dan mereka mempunyai pemain yang boleh menjadi wira perlawanan.”
Jardim yang telah mengekalkan Monaco terus kompetitif walaupun kerap menjual pemain terbaik seperti antarabangsa Portugal Bernard Silva yang dikaitkan dengan Chelsea dan dua kelab Manchester berkata, beliau tidak sabar untuk berdepan pasukan Guardiola.
“Dia seorang rakan sekerja saya,” kata Jardim yang datang ke Monaco pada 2014 selepas bersama Sporting Lisbon. “Dia jurulatih yang baik dan melatih tiga kelab besar tetapi sukar untuk bercakap tentang kaedah beliau kerana apa orang baca adalah satu perkara, realitinya pula kadang-kadang lain.” – AFP