LOS ANGELES, 14 JUN – Ketua Jelajah PGA yang sedang dikritik hebat, Jay Monahan, akan meninggalkan operasi harian jelajah itu kerana sedang pulih daripada situasi perubatan yang tidak didedahkan, menurut satu kenyataan kelmarin.
Monahan telah berdepan kritikan pedas berikutan penggabungan mengejut Jelajah PGA dengan Golf LIV yang dibiayai Arab Saudi minggu lalu, dengan beberapa pemain menggesa beliau meletak jawatan.
Satu kenyataan bersama yang ringkas daripada Monahan dan lembaga polisi Jelajah PGA kelmarin berkata Monahan akan berundur daripada tugasnya untuk tempoh yang tidak ditentukan semasa dia melalui proses pemulihan.
“Jay Monahan memaklumkan kepada lembaga Polisi Jelajah PGA bahawa dia sedang pulih daripada situasi perubatan,” kata kenyataan itu.
“Lembaga polisi menyokong sepenuhnya Jay dan menghargai semua orang yang menghormati privasinya.”
Kenyataan itu menyatakan bahawa ketua pegawai operasi PGA Tour, Ron Price dan Tyler Dennis, naib presiden eksekutif jelajah itu akan mengetuai ‘operasi harian’ semasa ketiadaan Monahan.
“Kami akan memberikan kemas kini lanjut mengikut kesesuaian,” tambah kenyataan itu. – AFP


