Wednesday, February 12, 2025
23.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Monsun barat daya bermula

    Oleh Syahmi Hassan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 24 MEI – Negara Brunei Darussalam akan beralih daripada fasa peralihan monsun ke monsun barat daya yang dijangka akan bermula sekitar minggu terakhir bulan ini.

    Pada lazimnya monsun barat daya akan berterusan sehingga September, menurut Jabatan Kaji Cuaca Brunei Darussalam (BDMD) dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini.

    Kenyataan itu menjelaskan, semasa monsun barat daya, keadaan atmosfera di negara ini pada kebiasaannya agak stabil dengan kejadian ribut petir yang berkurangan.

    Keadaan angin secara amnya akan bertiup dari arah barat daya semasa tempoh tersebut.

    Monsun barat daya juga sinonim dengan musim pembentukan sistem ribut tropika dan taufan di kawasan barat laut Lautan Pasifik dan Laut China Selatan.

    Oleh itu, keadaan cuaca negara boleh dipengaruhi dengan kehadiran sistem-sistem ribut tropika atau taufan itu. Namun, ia tertakluk pada jarak lokasi sistem-sistem berkenaan dari kawasan negara.

    Kesan pengaruh daripada sistem ribut tropika atau taufan yang berdekatan dengan rantau ini boleh menyebabkan pembentukan fenomena garis badai yang akan menjadikan negara mengalami keadaan cuaca tidak menentu dengan ribut petir berserta angin kencang sekali-sekala.

    Garis badai adalah sel-sel ribut petir yang bergerak pantas dalam pembentukan barisan yang panjang, jelas BDMD.

    Manakala sekitar Ogos, kebiasaannya negara akan mengalami keadaan berjerebu disebabkan cuaca kering di rantau Asia Tenggara.

    Merujuk pada rekod klimatologi lalu jabatan berkenaan, jumlah turunan hujan normal yang direkodkan di Stesen Pencerapan Cuaca di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei bagi Jun, Julai, Ogos dan September adalah 237.7mm, 241.8mm, 231.5mm dan 235.1mm.

    Namun, berpandukan pada beberapa model iklim antarabangsa, jumlah turunan hujan di negara ini dijangka berada dalam lingkungan normal bagi Jun dan Julai iaitu antara 190mm hingga 240mm.

    Bagi Ogos dan September pula, turunan hujan dijangka berada dalam lingkungan sedikit di bawah normal iaitu antara 140mm hingga 190mm.

    BDMD akan terus memantau keadaan cuaca dari semasa ke semasa dan akan mengeluarkan nasihat dan amaran cuaca jika perlu.

    Gambar fail menunjukkan Jambatan Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha di Bandar Seri Begawan. Negara Brunei Darussalam akan mengalami monsun barat daya tidak lama lagi.
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda