MUMBAI, 26 MEI – Hujan lebat membadai ibu kota kewangan India, Mumbai hari ini apabila musim monsun tahunan tiba kira-kira dua minggu lebih awal daripada kebiasaan, menurut ramalan cuaca.
Hujan lebat yang menyejukkan suhu dialu-alukan oleh para petani untuk tanaman mereka namun sering menjejaskan infrastruktur pengangkutan di bandar lazimnya dijangka melanda negeri barat daya Maharashtra pada awal Jun.
Jabatan Meteorologi India (IMD) mengeluarkan amaran hujan ‘amat lebat’ di Mumbai dan pihak berkuasa bandar mengisytiharkan amaran merah sehingga esok.
“Semua penduduk dinasihatkan untuk berada di dalam rumah dan mengelakkan perjalanan kecuali jika perlu,” menurut kenyataan pihak berkuasa, sambil menggesa orang ramai supaya ‘memberi kerjasama sepenuhnya’.
IMD dalam satu kenyataan menyatakan hujan telah melanda Mumbai hari ini, “16 hari lebih awal daripada biasa”, dengan taburan hujan biasanya dijangka sekitar 11 Jun, menjadikannya ketibaan paling awal dalam tempoh hampir suku abad.

“Ini menandakan ketibaan monsun paling awal di Mumbai dalam tempoh 2001 hingga 2025,” katanya.
Di seluruh negeri Maharashtra, ketua jabatan cuaca IMD di rantau itu, Shubhangi Bhute berkata ini merupakan ketibaan paling awal musim hujan dalam tempoh 14 tahun.
Asia Selatan kini mengalami suhu yang semakin tinggi dan corak cuaca yang berubah-ubah sejak beberapa tahun kebelakangan ini, namun para saintis masih belum jelas bagaimana pemanasan global secara khusus mempengaruhi sistem monsun yang kompleks.
Monsun barat daya ialah angin laut besar-besaran yang menyumbang antara 70 hingga 80 peratus daripada jumlah hujan tahunan di Asia Selatan antara Jun dan September setiap tahun.
Fenomena tersebut berlaku apabila haba musim panas memanaskan daratan subbenua, menyebabkan udara panas naik dan menarik masuk angin lautan dari Lautan Hindi yang membawa hujan lebat.
Monsun amat penting untuk sektor pertanian dan secara langsung memberi kesan kepada sumber rezeki jutaan petani serta keselamatan makanan negara.
Namun, ia turut menyebabkan kemusnahan setiap tahun dalam bentuk tanah runtuh dan banjir.
Di India, monsun barat daya lazimnya tiba di hujung selatan Kerala sekitar 1 Jun dan bergerak ke utara merentasi negara itu menjelang awal Julai. Hujan biasanya sampai ke Maharashtra sekitar 7 Jun. – AFP

