Tuesday, December 24, 2024
27.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Monsun timur laut bermula

    Oleh Sim Y. H. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 18 NOV – Negara Brunei Darussalam akan memasuki monsun timur laut pada 19 November dan dijangka akan berterusan sehingga sekitar hujung Mac 2025.

    Menurut kenyataan Jabatan Kajicuaca Brunei Darussalam (BDMD), hari ini, dua bulan pertama monsun timur laut iaitu Disember 2024 dan Januari 2025, yang juga dikenali sebagai musim tengkujuh, pada lazimnya mempunyai jumlah turunan hujan yang banyak dengan bilangan hari-hari hujan tertinggi jika dibandingkan dengan bulan-bulan lainnya.

    Semasa tempoh berkenaan, negara lazimnya mengalami keadaan cuaca tidak menentu, dengan hujan atau hujan berpetir sekali-sekala lebat berlaku terutamanya pada waktu malam hingga awal pagi.

    Berdasarkan data klimatologi, Disember menerima jumlah purata turunan hujan sebanyak 358.9mm, manakala Januari menerima jumlah purata turunan hujan sebanyak 320.6mm.

    Purata turunan hujan bagi Disember ialah 21 hari manakala Januari pula ialah 18 hari.

    Gambar Freepik

    Semasa musim tengkujuh, orang ramai dinasihatkan mengambil perhatian akan risiko tinggi berlakunya kejadian banjir atau banjir kilat terutamanya di kawasan-kawasan rendah dan mudah banjir serta di kawasan berdekatan tebing sungai.

    Risiko kejadian banjir yang lebih teruk boleh berlaku apabila hujan berintensiti lebat bertembung dengan kejadian air pasang serta kejadian tanah susur dan pokok tumbang boleh terjadi semasa hujan lebat yang berlanjutan lebih satu jam. Luruan angin sejuk timur laut yang kuat juga boleh menyebabkan peningkatan ketinggian ombak di perairan Brunei ke paras bergelora yang boleh mencapai sehingga 3.5 meter dan kelajuan angin boleh meningkat sehingga 60kmsj.

    Jika berlaku, keadaan itu adalah berbahaya kepada semua bot bersaiz kecil serta semua aktiviti rekreasi dan sukan laut.

    Manakala semasa tempoh separuh kedua monsun timur laut iaitu Februari dan Mac 2025, keadaan atmosfera cenderung menjadi lebih stabil dengan pengurangan aktiviti turunan hujan dengan jumlah purata turunan hujan bagi Februari ialah 162.9mm dan bagi Mac ialah 143.4mm.

    Manakala, purata bagi hari-hari hujan bagi Februari ialah 12 hari dan Mac ialah 13 hari.

    Berdasarkan kepada model iklim dari pusat-pusat ramalan antarabangsa, terdapat kemungkinan (peluang 60 peratus) fenomena La Nina akan terbentuk pada bulan ini hingga dan dijangka berterusan sehingga awal tahun 2025.

    Pada lazimnya, salah satu impak fenomena La Nina terhadap negara adalah peningkatan turunan hujan berbanding jumlah purata.

    Oleh yang demikian, orang ramai dinasihatkan untuk mengambil langkah-langkah awal dan yang bersesuaian dalam menangani impak terutamanya dengan keadaan cuaca aktif yang diramalkan berlaku pada musim tengkujuh itu.

    Orang ramai, para pemandu di jalan raya dan juga para pelaut dinasihatkan supaya sentiasa peka dengan ramalan, nasihat dan amaran cuaca terkini yang dikeluarkan oleh BDMD dan membuat perancangan yang bersesuaian untuk keselamatan semua.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda