Khamis, November 20, 2025
26.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Monsun timur laut: Cuaca negara tidak menentu

    BANDAR SERI BEGAWAN, 18 NOV – Negara Brunei Darussalam telah memasuki monsun timur laut pada 18 November dan dijangka akan berterusan sehingga sekitar hujung bulan Mac 2026.

    Dua bulan pertama monsun timur laut iaitu dari bulan Disember 2025 dan Januari 2026 yang juga dikenali sebagai musim tengkujuh, pada lazimnya mempunyai jumlah turunan hujan yang banyak dengan bilangan hari-hari berhujan tertinggi jika dibandingkan dengan bulan-bulan yang lain.

    Menurut kenyataan dari Jabatan Kajicuaca Negara Brunei Darussalam (BDMD), semasa tempoh tersebut, negara lazimnya mengalami keadaan cuaca tidak menentu, dengan hujan atau hujan berpetir sekali-sekala lebat berlaku terutamanya pada waktu malam hingga awal pagi.

    Berasaskan data klimatologi, bulan Disember menerima jumlah purata turunan hujan sebanyak 359mm, manakala bulan Januari menerima jumlah purata turunan hujan sebanyak 321 mm. Purata bagi hari-hari berhujan bagi bulan Disember ialah 21 hari manakala bulan Januari pula ialah 18 hari.

    Semasa musim tengkujuh, adalah penting untuk orang ramai mengambil perhatian akan risiko tinggi berlakunya kejadian banjir atau banjir kilat terutamanya di kawasan-kawasan rendah dan mudah banjir serta di kawasan berdekatan tebing sungai.

    Gambar Freepik

    Risiko kejadian banjir yang lebih teruk boleh berlaku apabila hujan berintensiti lebat bertembung dengan kejadian air pasang serta kejadian tanah susur dan pokok tumbang boleh terjadi semasa hujan lebat yang berlanjutan lebih dari 1 jam.

    Luruan angin sejuk timur laut yang kuat juga boleh menyebabkan peningkatan ketinggian ombak di perairan Brunei ke paras bergelora yang mana boleh mencapai sehingga 3.5 meter dan kelajuan angin boleh meningkat sehingga 60kmsj. Jika berlaku, keadaan ini adalah berbahaya kepada semua bot bersaiz kecil, dan semua aktiviti rekreasi dan sukan laut.

    Manakala semasa tempoh separuh kedua monsun timur laut iaitu dari bulan Februari 2026 dan Mac 2026, keadaan atmosfera cenderung menjadi lebih stabil dengan pengurangan aktiviti turunan hujan, dengan jumlah purata turunan hujan bagi bulan Februari ialah 163mm dan bagi bulan Mac ialah 143mm.

    Manakala, purata bagi hari-hari berhujan bagi bulan Februari ialah 12 hari dan bulan Mac ialah 13 hari.

    Berdasarkan model ramalan dari pusat-pusat iklim antarabangsa, fenomena La Niña yang pada masa ini berlaku di Lautan Pasifik dijangka akan berterusan, dengan peralihan kepada ENSO-neutral dijangka berlaku pada Januari hingga Mac 2026 (61 peratus kebarangkalian).

    Pada lazimnya, salah satu impak fenomena La Niña terhadap Negara Brunei Darussalam merupakan keadaan yang lebih lembap daripada biasa, dengan peningkatan jumlah turunan hujan berbanding jumlah purata.

    Oleh yang demikian, orang ramai adalah dinasihatkan untuk mengambil langkah-langkah awal dan yang bersesuaian dalam menangani impak terutamanya dengan keadaan cuaca aktif yang diramalkan berlaku pada musim tengkujuh ini.

    Orang ramai, para pemandu di jalan raya dan juga para pelaut dinasihatkan supaya sentiasa peka dengan ramalan, nasihat dan amaran cuaca terkini yang dikeluarkan oleh BDMD dan membuat perancangan yang bersesuaian untuk keselamatan semua.

    BDMD akan terus memantau keadaan cuaca dari semasa ke semasa, dan akan mengeluarkan nasihat dan amaran cuaca jika perlu. Maklumat, nasihat dan amaran cuaca terkini boleh diterima dengan lebih mudah melalui aplikasi bimbit Brunei WX, kerana, maklumat, nasihat dan amaran cuaca dapat diterima terus sebaik sahaja nasihat atau amaran terkini dikeluarkan.

    Selain itu, maklumat cuaca terkini juga boleh diperoleh dengan menghubungi peramal cuaca yang bertugas di Pusat Ramalan Cuaca, melalui Talian Cuaca 114, atau melayari laman sesawang www.met.gov.bn atau melalui laman Facebook (@bruneiweather), Instagram (@brunei.weather) dan saluran Telegram serta Whatsapp (Brunei Weather).

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda