Khamis, November 20, 2025
28.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Monyet Belanda tarikan pelancong di Labuk Bay

    SANDAKAN, 19 NOV – Monyet probosis yang menjadi tarikan pelancong sebenarnya boleh ‘dipanggil’ supaya dapat dilihat dari dekat menerusi teknik tertentu, namun sedikit kesilapan sudah memadai untuk menyebabkan tiada seekor pun muncul ketika sesi memberi makanan kepada haiwan itu.

    Itulah realiti harian Mohammad Sabri Laleling, 28, seorang renjer di Labuk Bay Proboscis Monkey Sanctuary yang tugasnya termasuk “berbicara” dengan monyet Belanda yang diberikan gelaran si ‘Bayau’ oleh penduduk tempatan.

    Mohammad Sabri berkata renjer terdahulu memberitahunya bahawa beliau hanya perlu berlatih selama seminggu untuk membolehkan monyet itu mengenali suaranya.

    “Namun, selepas seminggu saya belajar teknik memanggil monyet probosis daripada renjer lama, tiada seekor pun yang datang. Saya belajar lagi untuk minggu kedua, ketika itu saya rasa teruja apabila monyet mula muncul semasa dipanggil,” katanya kepada Bernama.

    Renjer yang telah berkhidmat di Labuk Bay selama lapan tahun itu berkata ada ketikanya mamalia berkenaan langsung tidak menampakkan diri meskipun berulang kali dipanggil, sehingga memaksa pihak santuari memulangkan bayaran tiket kepada pelawat.

    Dalam keadaan tertentu, beliau terpaksa masuk ke kawasan paya bakau sekitar ladang untuk menarik perhatian monyet Belanda supaya datang ke platform yang disediakan sebelum ketibaan pelancong. – Bernama

    Monyet belanda atau Proboscis monkey diberi buah-buahan di atas pelantar di Labuk Bay Proboscis Monkey Sanctuary. – Bernama
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda