BRUSSELS, 15 MEI – Tiga ekor monyet emas hidung terjungkit dari China yang jarang ditemui tiba di Zoo Pairi Daiza di wilayah Hainaut, Belgium kelmarin, di bawah perjanjian pajakan selama 10 tahun, lapor Xinhua.
Tiga ekor monyet Qinling emas itu diterbangkan dari Wilayah Shaanxi di barat laut China sebagai sebahagian daripada perjanjian kerjasama saintifik antara Persatuan Pemuliharaan Hidupan Liar China (CWCA) dan zoo itu.
Menurut laman sesawang Pairi Daiza, Liu Yun, seekor panda jantan, dilahirkan pada April 2019, manakala dua monyet betina yang menemaninya, Lu Lu dan Juan Juan, masing-masing dilahirkan pada Mei 2018 dan April 2021.
Orang ramai berbaris di sepanjang jalan menuju ke pintu masuk zoo sejauh beberapa ratus meter untuk menyambut kehadiran monyet yang jarang ditemui itu, sambil bersorak dan bertepuk tangan menyambut ketibaan konvoi khas itu.
Pengasas dan pengerusi Pairi Daiza, Eric Domb berkata kepada Xinhua yang kesemua monyet itu adalah ‘sangat menakjubkan’ dan antara yang paling cantik, sambil memuji pergerakan anggun mereka dan joie de vivre (kegembiraan hidup) yang ditunjukkan.
Beliau turut memuji usaha pemuliharaan China yang dianggap tulen, sambil menekankan yang usaha itu membantu mendamaikan hubungan antara komuniti tempatan dan hidupan liar, bukan menjadikan mereka bertentangan.
“Kami berbesar hati untuk menyumbang kepada kerjasama ini dan menyokong kelangsungan spesies ini,” katanya.
Setibanya di zoo, ketiga-tiga monyet emas dari China itu dikuarantin selama 30 hari dalam sebuah kandang yang dibina mengikut gaya tradisional rumah China sebelum dilepaskan ke habitat terbuka di taman haiwan itu. Penjaga haiwan akan memantau kesihatan dan proses penyesuaiannya dengan teliti. – Bernama
