PADANG HALBAN, Malaysia – Seekor monyet macaque kelihatan cuba untuk mencabut seutas tali yang terikat pada sebiji kelapa sehingga ianya jatuh ke tanah, satu kejayaan kecil buat pelajar simia di sekolah Malaysia yang telah memberi latihan kepada monyet-monyet ini untuk mendapatkan buah yang sudah masak, kemudiannya diberikan kepada petani.
Beribu-ribu monyet telah diajar mengenainya selama empat dekad yang lalu oleh seorang lelaki yang dikenali sebagai Datuk Wan berusia 63 tahun di sebuah perkampungan kecil di utara negara itu.
Dengan jumlah bayaran yang tidak begitu mahal, pengunjung dari seluruh negara itu telah menghantar monyet macaque mereka ke sekolah popular ini, di mana rantai nipis akan dipakaikan pada monyet tersebut dan kemudian dilatih untuk memanjat pokok kelapa dan memilih buahnya yang sudah masak.
Mengajar monyet untuk memilih buah telah mencetuskan protes daripada kumpulan hak asasi haiwan yang menggangapnya sebagai satu kekejaman, namun Datuk Wan, nama sebenarnya adalah Wan Ibrahim Wan Mat, menegaskan bahawa dia hanya mendidik dan memperlakukannya dengan cara yang lembut.
“Ia seperti anak-anak kami,” katanya, sambil monyet macaque kelihatan berayun-ayun di kawasan latihan yang mempunyai himpunan pokok-pokok kelapa dan beberapa platform kayu, yang dipasang untuk monyet-monyet ini menaikinya.


“Apabila ia menjatuhkan buah, kami akan menunjukkan rasa kasih sayang kami kepadanya. Kami juga membelainya.”
Dia juga melatih monyet macaque selatan, sejenis monyet bersaiz sederhana yang terdapat di seluruh Malaysia, serta bahagian lain di Indonesia dan selatan Thailand.
Ia kebanyakannya dijumpai di hutan hujan di rantau ini, namun apabila habitat semula jadinya musnah, akibat daripada aktiviti pembalakan dan pencerobohan manusia, monyet-monyet ini telah banyak memasuki kawasan perkampungan dan bandar.
Wan Ibrahim pertama kali tertarik dengan latihan macaque ini pada awal usia 20-an ketika dia melihat haiwan ini memanjat pokok kelapa dan memilih buah tersebut.
Pada awalnya, ianya dilakukan sebagai satu hobi, namun apabila skilnya bertambah baik, berita kehebatannya itu pun tersebar dan orang ramai yang berada jauh dari kampungnya itu (perkampungan kecil Padang Halban di utara negeri Kelantan) mulai datang mengunjunginya, dan menghantar monyet-monyet macaque mereka.
Buah kelapa adalah satu perniagaan besar di Malaysia yang mana telah menghasilkan 700 juta setiap tahun. Negara itu juga adalah rumah kepada pekebun-pekebun kecil, yang mana sebahagian daripada mereka ini telah menggunakan monyet sebagai pengutip buah yang sudah masak.
Untuk mengajar monyet-monyet ini berjaya memanjat pokok kelapa dan memilih buah yang dimahukan, ianya boleh memakan masa sehingga beberapa hari atau sebulan, bergantung kepada haiwan itu, kata Wan Ibrahim.


Tetapi apabila ia telah dilatih sepenuhnya, haiwan ini boleh mengutip sehingga 800 biji kelapa setiap hari. Katanya, yuran bagi satu kursus penuh adalah bernilai 150 ringgit (AS$38).
Kursus ini mempunyai beberapa peringkat. Peringkat pertama, monyet-monyet ini akan dilatih bagaimana untuk mencabut sebiji buah kelapa yang telah diikat dengan tali pada pagar kayu, beberapa kaki dari tanah, membayangkan mencabutnya dari pohon kelapa. Pada tahap akhir nanti, ia akan diajar untuk memanjat pokok kelapa sebenar dan memetik buahnya.
Mat Ali Zakaria, seorang pemetik kelapa dan pelanggan dari bandar Padang Rengas, lebih dari 300 kilometer dari Padang Halban, telah memuji Wan Ibrahim dengan cara latihannya yang sungguh berhati-hati dan bersikap lembut.
Perniagaan Wan Ibrahim ini tidak akan kekal selama-lamanya. Dia telah memperlahankannya sejak mengalami strok pada dua tahun yang lalu dan kini memakai tongkat untuk berjalan.
Tiada seorang pun daripada lima anaknya yang berminat untuk mengambil alih pusat latihan itu, tetapi dia berkata terdapatnya pelatih monyet lainnya di Malaysia, yang akan meneruskan kerjayanya itu apabila dia bersara nanti.
Presiden Persatuan Kebajikan Haiwan Malaysia, Shenaaz Khan berkata beliau tidak menentang terhadap aktiviti latihan macaque ini, selagi tidak menimbulkan kekejaman. Namun merasa bimbang terhadap kurangnya pemantauan monyet-monyet ini apabila ia dikembalikan kepada pemiliknya.
“Apabila anda menggunakannya sebagai tenaga kerja, ia tidak mempunyai perlindungan. Siapa yang akan melihatnya?” katanya. – AFP