Monyet proboscis cedera diberi suntikan eutanasia

SANDAKAN, 3 SEPT – Jabatan Hidupan Liar Sabah (SWD) terpaksa mengambil keputusan sukar untuk memberi suntikan eutanasia (ubat untuk mempercepatkan proses kematian) terhadap seekor monyet proboscis yang cedera parah dipercayai dilanggar kenderaan di Jalan Bambangan, Seguntur, Batu 11 dekat sini, semalam.

SWD dalam satu kenyataan di sini hari ini berkata mamalia jantan itu ditemukan dalam keadaan menyayat hati oleh seorang pegawai kanan kerajaan, yang kebetulan melalui kawasan itu sekitar pukul 8 pagi.

“Monyet proboscis itu dijumpai dalam keadaan yang sangat lemah dan mengalami pendarahan. Ia mengalami patah lengan dan cedera di kaki, lutut kiri dan ibu jari kiri.

“Rawatan segera diberikan kepada haiwan itu, tetapi kecederaan dan pendarahan yang dialaminya adalah serius dan tidak banyak peluang untuk hidup, oleh itu, eutanasia adalah satu-satunya cara untuk mengakhiri penderitaannya,” menurut kenyataan itu.

SWD turut meminta orang ramai, terutama pengguna jalan raya di kawasan berkenaan untuk berhati-hati di jalan raya agar kejadian seumpama itu tidak berulang.

Oleh kerana jalan terbabit adalah kawasan umum, SWD memaklumkan pihaknya tidak akan menjalankan siasatan berhubung kejadian itu, namun akan memasang papan tanda amaran mengenai kemungkinan muncul hidupan liar yang berkeliaran di daerah berkenaan. – Bernama